KUALA LUMPUR – Bousted Holdings Bhd. menafikan ia cuba menangkis cadangan penswastaan oleh syarikat induknya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) seperti yang dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan, syarikat tersebut turut menjelaskan tiada sebarang perbincangan dengan LTAT dibuat terhadap pembelian oleh pihak pengurusan.

Tambahan pula, mereka masih belum menerima sebarang tawaran daripada LTAT yang memiliki 59 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan.

“Jika ada tawaran tersebut diberikan kepada kami, satu pengumuman rasmi akan dibuat selaras dengan syarat yang telah ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

“Boustead komited untuk kekal sebagai aset penyumbang kepada para pemegang saham dan akan terus melakukan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Menurut laporan akhbar tersebut, LTAT berada dalam keadaan sukar untuk menyelesaikan urusannya dengan Boustead yang juga permata kepada tabung berkenaan.

Memetik sumber, laporan tersebut mendakwa, LTAT telah menerima banyak kertas cadangan termasuk daripada satu kumpulan yang berminat untuk membeli satu perlima daripada Boustead.

LTAT juga didekati oleh sebuah firma ekuiti swasta yang berhasrat untuk meneroka peluang membiayai penswastaan tersebut dan menstruktur semula syarikat. – MalaysiaGazette