Mohd Ariff Ithnin (depan kanan) dan Edward Ling, menunjukkan dokumen masing-masing selepas menandatangani MoU antara Yayasn Peneraju dan ACCA yang disaksikan oleh Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk terus meningkatkan bilangan bumiputera memiliki kelayakan akauntan bertauliah.

Pembaharuan MOU tersebut merupakan kesinambungan dari kerjasama tiga tahun yang pertama kali ditandatangani pada 2017 bertujuan untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan keberkesanan bakat Bumiputera di Malaysia melalui program pensijilan perakaunan
profesional.

Di bawah kerjasama sebelum ini, seramai 1,639 pelajar menerima tajaan untuk mengikuti kelayakan ACCA dan program itu membuahkan hasil positif menerusi 37 pemenang Hadiah Dunia ACCA dan 11 pemenang Hadiah No.1 Dunia ACCA.

Pembaharuan perjanjian berkenaan menyaksikan 1,000 lagi pelajar akan ditaja untuk memenuhi impian mereka menjadi akauntan profesional pada masa akan datang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin berkata, perakaunan adalah salah satu bidang yang menjadi tumpuan yayasan dan melibatkan pelaburan yang besar sejak 2012.

Jalinan kerjasama dengan ACCA selama ini menyaksikan pelbagai usaha telah kami jayakan bersama untuk meningkatkan bilangan akauntan profesional bumiputera di Malaysia.

”Sejajar peredaran masa, kita menyedari bahawa ramai pelajar Malaysia yang memiliki potensi di bidang akademik tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya kekangan kewangan.

”Pembiayaan pendidikan seperti ini dilihat sebagai agen perubahan yang mampu memberikan peluang pendidikan yang dapat membantu mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” tambah Mohd Ariff Ithnin.

Perjanjian pembaharuan MOU itu ditandatangani oleh Mohd Ariff dan Ketua Negara ACCA Malaysia, Edward Ling dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof melalui platform maya.

Mohd Redzuan dalam ucapannya berkata, jalinan kerjasama seperti itu sangat penting dalam mempersiapkan pelajar untuk membina kerjaya cemerlang di bidang perakaunan dan kewangan seterusnya membantu membuka jalan ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV2030). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast