KUALA LUMPUR – Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun disaran mengikuti kursus khas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) untuk belajar urusan diplomasi terutamanya berkenaan tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Itu saranan sinis Bendahari Agung Parti Cinta Sabah (PCS), Jeff Lu kepada Terrence yang ternyata agak ‘kalut’  mengeluarkan kenyataan tanpa memahami terlebih isu tersebut.

Kata Jeff, pastinya Terrence bukanlah seorang menteri mahupun pegawai diplomatik yang arif dalam isu tersebut sebaliknya hanya bercakap ikut suka demi mengaburi mata rakyat Sabah.

“Faktor utama yang menjadi penyebab dengan tuntutan Filipina yang tiada asas itu bukan orang lain tetapi Ketua Menteri Sementara Sabah hari ini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga ‘ketua’ kepada Terrence.

“Tindakan Mohd Shafie melayan tuntutan Filipina selepas dilantik Ketua Menteri telah mengiktiraf tuntutan tersebut.

“Ingatlah atau untuk makluman Terrence, sebelum ini polisi Malaysia adalah untuk tidak endahkan tuntutan Filipina kerana sebarang respon terhadap tuduhan tersebut akan dikira sebagai satu pengiktirafan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kenyataan Jeff dikeluarkan susulan kritikan pemimpin Warisan itu yang menuduh kegagalan Datuk Seri Anifah Aman selaku bekas Menteri Luar sebagai punca tuntutan terhadap Filipina ke atas Sabah.

Malah apa yang lebih mengecewakan ialah apabila isu ini cuba di putarbelitkan bagi memberi gambaran buruk tentang Anifah kononnya beliau tidak berjaya menyelesaikan isu tersebut walhal yang menjadikan perkara ini lebih rumit ialah ketika Mohd Shafie menjadi Ketua Menteri, kata Jeff.

Menurut Jeff, keputusan kerajaan Warisan membenarkan tuntutan tersebut di dengari di Mahkamah Timbang Tara di Sepanyol adalah umpama cerita seorang kaki judi di kasino.

“Seperti kaki judi di kasino yang mengharapkan nasib untuk menang,  kedaulatan Sabah telah diperjudikan di sini dan nasibnya kini adalah di atas tangan Mahkamah Timbang Tara Sepanyol hari ini.

“Apakah nasib Sabah sekiranya keputusan Mahkamah kelak tidak berpihak kepada kita?’ soalnya.

Menurut Jeff, peluang keputusan tersebut memihak kepada pihak Filipina adalah tinggi memandangkan Filipina adalah salah satu koloni Sepanyol dulu sepertimana Malaysia adalah anggota negara Komanwel hari ini.

Jeff menjelaskan,  Wisma Putra tidak melayan tuntutan Filipina ke atas Sabah sebelum ini kerana tidak ingin mengiktiraf dan mencipta asas kepada asas tersebut.

“Mengapa tidak Terrence faham logik ini? Tidakkah nampak rasionalnnya? Jadi mengapa buat diri anda kurang bijak untuk terus keluarkan kenyataan sebegini? Pelik sungguhlah pemimpin Warisan ini.

“Keengganan Malaysia berbincang dengan pihak yang membuat tuntutan ke atas Sabah termasuk di pentas antarabangsa kerana perbuatan itu boleh memberi makna Malaysia mengiktiraf tuntutan mereka.

“Sabah adalah milik Malaysia dan ianya telah pun iiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak 1963 lagi. Oleh itu, sememangnya tidak ada isu untuk dijawab atau dibincangkan pun sebenarnya,” tegasnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pemimpin warisan nyanyok nk jual negara kpd Filipina.. Inilah malapetaka bagi negara bila org bangang diangkat jadi pemimpin dan ketua menteri.
    Nmpak gayanya Pie pedal ni nk serah Sabah kpd Filipina dah kot?

Comments are closed.