Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor digesa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang telah melakukan pencemaran sungai di negeri itu sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air kepada lima juta pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mendakwa, pihaknya beranggapan terdapat agensi melibatkan pihak berkuasa yang melindungi kegiatan tidak bertanggungjawab membuang sisa minyak atau bahan kimia sehingga menyebabkan pencemaran sungai kerap berlaku.

“Situasi yang berlaku kini menunjukkan kelemahan pentadbiran di mana seolah-olah tiada usaha pemantauan rapi dibuat oleh pihak yang berkuasa sehingga menyebabkan perkara sama terus berlaku berulang kali.

“Pihak terbabit yang melakukan jenayah alam sekitar ini hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan masalah yang akan ditanggung dan memberi kesan kepada persekitaran ekosistem,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azmizam berkata, kerajaan Selangor juga perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan perkara itu secara terperinci supaya ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

“Buatlah yang terbaik dan kalau perlu dapatkan khidmat nasihat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi kepentingan rakyat Selangor,” ujarnya.

Sebelum ini, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, dan Kuala Langat bermula 10 pagi semalam.

Shahir Adnan

Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia (DPIM) pula menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas dengan menutup kilang yang menyebabkan berlaku pencemaran di sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor itu.

Ketua Dewan Pemudanya, Shahir Adnan berkata, tindakan menarik balik lesen operasi kilang terbabit juga wajar diambil, agar kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Majlis turun padang bagi membantu rakyat yang terjejas akibat gangguan air di kebanyakan kawasan negeri itu.

Ini kerana kata beliau, pada waktu ini kebajikan rakyat perlu diutamakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.