Abdul Fattah Abdullah

GEORGE TOWN – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Pulau Pinang menjalin usaha sama dengan Asia Aquaculture Holding Sdn Bhd bagi meneroka penternakan udang putih di negeri itu.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sebagai permulaan, 21 buah koperasi seliaan Angkasa di Pulau Pinang akan terlibat dalam projek itu dengan projek perintis di Teluk Tempoyak di kawasan seluas 2.02 hektar.

“Koperasi di Pulau Pinang yang kebanyakannya menjalankan perniagaan berasaskan pertanian perlu perniagaan yang berimpak tinggi. Dari kaca mata Angkasa, Pulau Pinang berpotensi menjadi pengeluar udang putih ‘Litopenaeus Vannamei’ untuk dipasarkan di dalam dan luar negara seperti Jepun, Korea dan China.

“Dari segi pemasaran, saya rasa tiada masalah kerana produk kita akan memenuhi spesifikasi yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penghasilan Kertas Kerja Ternakan Udang Putih Angkasa Pulau Pinang di sini, hari ini.

Abdul Fattah berkata, pihaknya bersama-sama beberapa agensi kerajaan serta beberapa koperasi sedang merangka kertas kerja untuk dimajukan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Tujuan bengkel ini adalah untuk menghasilkan kertas kerja kerana kita memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan pusat. Projek ini melibatkan nilai pelaburan dan kos yang besar… dijangkakan sekitar RM 50 juta,” kata Abdul Fattah.

Antara agensi yang terlibat ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pertanian Pulau Pinang dan Pejabat Perikanan Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengarah Asia Aquaculture Holding Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Nor Saat berkata, penternakan akan dijalankan secara kolam takungan daripada kanvas.

Beliau berkata, 21 koperasi yang terlibat dalam ternakan udang itu akan mengusahakannya di tanah berkeluasan 40.4 hektar milik PERDA.

“Dijangkakan sebuah kolam dapat menghasilkan sebanyak empat sehingga lima tan udang putih dalam tempoh lapan bulan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dalam proses menjadikan projek perintis di Teluk Tempoyak sebagai tumpuan agro-pelancongan dan pusat penyelidikan akuakultur. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast