Dalam satu laporan pada 1938, Setiausaha Central Indian Association of Malaya (CIAM) iaitu Neelakanda Aiyer pernah mengumpamakan masyarakat India sebagai ‘sucked oranges’

Perumpamaan itu adalah untuk menggambarkan kedudukan sosio ekonomi masyarakat India yang dibayar upah rendah, tinggal di rumah daif serta memperoleh mutu pendidikan tidak berkualiti di estet-estet sebelum merdeka.

Walaupun kepimpinan negara dan rancangan-rancangan ekonomi kerajaan silih berganti namun nasib serta kebajikan kaum India tetap tidak mengalami perubahan drastik sejak 62 tahun lalu.

Kaum India merupakan masyarakat utama dalam perkembangan infrastruktur negara kita melalui penglibatan mereka dalam pembinaan jalan keretapi dan komunikasi namun ironinya hari ini infrastruktur sosial serta ekonomi mereka masih lagi menjadi tanda tanya.

Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Santhara Kumar kini menjadi sebutan dalam memperjuangkan nasib minoriti ini.

Dr Santhara ketika dilontarkan persoalan bagaimana untuk menyelesaikan isu itu, beliau dalam masa kurang dua jam memberikan penjelasan terperinci membuat kiraan.

Untuk menangani isu tersebut, satu rangka kerja atau ‘road map’ harus dilaksanakan untuk memperbetulkan ketidakseimbangan sosia ekonomi yang wujud di antara kaum India dengan kaum lain.

Beliau mengakui mengubah taraf status sosio ekonomi kaum India bukan sesuatu yang boleh dilakukan sekelip mata dan ‘road map’ untuk merealisasikan perubahan taraf hidup masyarakat India ini adalah kunci kepadanya.

Katanya, kerajaan tidak perlu mengeluarkan peruntukan luar biasa namun dengan perancangan rapi ia mampu mengubah nasib kaum India.

Kata Dr Santhara, peruntukan pembangunan sosio ekonomi melalui MITRA (Malaysian Indian Transformation Agency) dalam Belanjawan 2020 adalah sebanyak RM100 Juta.

“Pada Belanjawan 2018 sebelum itu pula, peruntukkan khas untuk kaum India untuk tujuan sama mencecah RM250 Juta.

‘Daripada kiraan kasar yang diperoleh daripada maklumat di atas, dianggarkan peruntukkan yang diperlukan untuk implementasikan road map ini adalah RM200 juta. Dan memandangkan ianya bakal membentuk satu kitaran positif dalam aspek ekonomi dan sosial, jumlah tersebut boleh ditafsir sebagai satu bentuk pelaburan jangka masa panjang.

“Pelaburan ini akan tertumpu kepada kaum India dan dijangka melahirkan industri-industri baru sekiranya polisi road map ini diimplementasikan sepenuhnya. Kaum India yang hanya merangkumi lebih kurang 7% atau dua juta daripada penduduk Malaysia tidak menerima tumpuan dasar yang setimpal. Kedudukan masyarakat India sering dipinggirkan.

“Peluang-peluang ekonomi yang terhad, kurangnya keprihatinan menerusi dasar-dasar kerajaan, kekangan sosio budaya kaum India dan kuota terhad telah dikenal pasti sebagai empat faktor yang mempengaruhi kemunduran kaum India di negara ini.

Road map ini dirangka bagi tujuan menangani 4 masalah yang dikenal pasti secara spesifik ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Antara yang di jelaskan oleh Dr Santhara dirumuskan seperti berikut memandangkan ia agak terperinci:

SEKTOR PENDIDIKAN

Pendidikan merupakan elemen perubahan yang menyebabkan berlakunya perubahan sosiobudaya dan sosio-ekonomi dalam sesebuah masyarakat. Ini kerana ia merupakan agen sosial dan membuka ruang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.

Pekerjaan yang baik pula memberikan pendapatan lumayan untuk menikmati gaya hidup yang lebih baik.

Berdasar kepada itu, agihan sebanyak RM50 juta daripada RM200 juta akan digunakan untuk memperkasakan tahap pendidikan asas masyarakat India.

Secara khusus, RM50 juta ini akan meliputi :

1) Kolej Komuniti (di mana 10 Kolej Komuniti akan dikenal pasti untuk pilot road map ini)

Agihan kasar: 10 kolej x 100 pelajar India (yang hanya dapat 1 kredit hingga 3 kredit) x RM5,000 seorang = RM 5 juta

2) Program Matrikulasi (Initial Funding – B40)

: 1,000 pelajar x RM3,000  = RM 3 juta

3)  Program Permerkasaan Politeknik

: 1,000 pelajar x RM3,000 = RM 3 juta

Setakat ini, penyelidikan di 18 IPTA mengenal pasti seramai 2,000 pelajar yang dikenal pasti mengikut kriteria (pendapatan isi keluarga, jumlah adik beradik, jarak tempat tinggal dan lokasi kolej dll) akan dibantu sehingga ke jumlah maksimum RM5,000 seorang.

Anggaran jumlah keseluruhan adalah RM 10 juta.

2. Program Pengkhususan di IPTS – program premier

(Undang/undang, Perakaunan ; Perubatan, Farmasi, Kejuruteraan)

3. 100 pelajar kategori ‘top’ (Pelajar yang gagal mengikuti program di IPTA)

Melalui inisiatif ini, pelajar-pelajar India yang mendapat keputusan yang baik tetapi tidak menepati kelayakan yang ditetapkan untuk memperolehi biasiswa boleh mengejarkan cita-cita untuk belajar di luar negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan  kolej swasta harus berusaha memastikan taraf pendidikan yang adil diberikan di institusi di Jepun atau Korea Selatan.

Malaysia juga mempunyai ramai pensyarah lulusan universiti terkemuka dunia yang seharusnya diberi peranan besar untuk menjalin hubungan rapat dengan Cambridge University, Imperial College London, Stamford University, University of Tokyo atau universiti ‘Ivy League’ lain.

Bajet RM 20 juta pula akan diperuntukkan untuk jurusan-jurusan kegemaraan kaum India :

–  Undang/undang – 100 pelajar x RM50,000 = RM5 juta

–  Perakunan – 100 pelajar x RM50,000 = RM5 juta

–  Perniagaan / Usahawanan – 100 pelajar x RM30,000 = RM3 juta.

–  Farmasi – 50 pelajar x RM200,000 = RM10 juta

–  Perubatan – 100 pelajar x RM400,000 = RM40 juta

–  Kejuruteraan – 100 pelajar x RM100,000 = RM 10 juta

–  Professional Program – ACCA/CIMA dll – RM7 juta

Semua agihan kasar berdasar kepada bajet, yuran dan banyak faktor lain.

Itulah merupakan jawapan beliau ketika memberikan perincian berhubung agihan bagi sektor pendidikan.

Agihan RM80 juta daripada peruntukkan RM200 juta untuk sektor pendidikan secara spesifik ini adalah sesuatu yang disengajakan bagi memastikan serta menjamin pendidikan bermutu tinggi dapat melonjakkan taraf pendidikan masyarakat India yang tercicir.

NGO SEBAGAI AGEN PELAKSANA ROAD MAP

Cadangan sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan untuk NGO-NGO India yang berjuang untuk sosio ekonomi yang lebih baik, ujarnya.

“Beza peranan mereka di sini adalah NGO-NGO kali ini akan diberikan satu visi dan misi yang spesifik. NGO-NGO tersebut akan bekerja sebagai agen yang akan bantu melaksanakan visi tersebut dan akan dibimbing menerusi rangka kerja yang spesifik.

“Antaranya berkaitan dengan nasib kaum India yang baru keluar daripada penjara. Pihak kerajaan akan mewajibkan pihak-pihak berkaitan mengadakan perbincangan dengan NGO-NGO termasuk mengadakan lawatan ke penjara untuk mendekati para banduan kaum India.

“Ini dibuat untuk kenal pasti banduan terbabit dan berhubung dengan mereka supaya apabila mereka keluar nanti mereka tidak terus terpinggir daripada masyarakat sekelilingnya.

“Inisiatif untuk banduan ini hanya salah satu daripada contoh program eksklusif yang dirangka setakat ini. Juga inisiatif untuk merangsang pertumbuhan sosio ekonomi dengan pihak NGO dijangka merangkumi :

1 – Bantuan Pusat Anak-anak Yatim – RM1 juta x 10 negeri = RM10 juta

2 –  Bahasa Tamil/ Kebudayaan- RM10 juta

3 –  Penguakuatkuasaan Sosial – Tabiat Minum Arak – RM10 juta

4 –  Pemerkasaan Wanita – RM10 juta

5 –  Keagamaan /Moral/Rukun Negara – RM10 juta

VISI MEMBENTUK KAUM INDIA SEBAGAI KAUM USAHAWAN

Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia menunjukkan terdapat 695,030 orang India berada dalam kategori B40, iaitu 40% isi rumah terbawah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

Ini bermakna kira-kira 35% isi rumah kaum India menerima pendapatan rendah, sebaliknya ketidakupayaan menembusi pasaran ekonomi yang kompetan menyebabkan mereka kurang berkemampuan untuk memperbaiki kehidupan.

Ini kerana kaum India hari yang memulakan perniagaan ia bermula daripada spektrum terakhir kitaran ekonomi disebabkan kekurangan modal dan kecetekan ilmu.

Ini menyebabkan perniagaan ramai orang India terbantut di peringkat awal walaupun pelbagai fasiliti disediakan untuk memulakan perniagaan.

Untuk menangani kekurangan ini, terdapat cadangan pemerkasaan menerusi koperasi India dan Tekun dengan menyerapkan proses bimbingan dan pemantauan ke atas perniagaan yang dimulakan oleh mereka.

Misalnya:

1 – Skim Micro Kredit – RM25 juta – individu

2 – Skim – Indian Capital Venture / Cradle fund – RM25 juta

Visi jangka masa pendek adalah memperkenalkan budaya usahawan kepada masyarakat India dan visi jangka masa panjang pula ialah menyenaraikan syarikat di dalam Bursa Saham Malaysia dalam tempoh lima tahun.

Jumlah  RM50 juta adalah jumlah yang diperlukan untuk memperkasakan ekonomi orang India.

REVOLUSI SEKOLAH TAMIL

“Golongan India pada awal tahun 30-an di Malaya adalah terdiri daripada masyarakat yang buta huruf malah golongan ini juga tidak memikirkan hal berkaitan dengan persekolahan.

“Ini sekaligus menyebabkan mereka tidak mengharapkan penubuhan sekolah, bagaimanapun segalanya berubah apabila Kanun Buruh 1923 mewajibkan pembekalan kemudahan pendidikan bagi kanak-kanak buruh India dalam lingkungan umur antara 7 hingga 14 tahun.

“Walaupun sukatan matapelajaran sekolah Tamil bertaraf rendah pada masa itu, peranan sekolah Tamil membasmi buta huruf di kalangan kanak-kanak di estet amat dihargai dan dianggap sebagai titik permulaan pendidikan kaum India di Malaya.

“Oleh yang demikian, sekolah Tamil mempunyai nilai sentimen yang tinggi di kalangan orang India sehingga ke hari ini.

“Namun demikian, hakikat bahawa bilangan murid yang daftarkan diri di sekolah tamil makin berkurang setiap tahun dan ini realiti juga harus diterima.

“Misalnya Di Kedah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Jenun di Pendang, hanya mempunyai 15 murid di mana lima daripada mereka tinggal kawasan tersebut, enam pelajar pula adalah Gurun yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sekolah selain empat murid lain yang merupakan anak guru sekolah itu.

“Adakah kos operasi untuk sekolah tersebut satu perkara rasional untuk dibuat? Semestinya tidak. Untuk mengimbangi unsur mutu pendidikan, sentimen orang India dan politik yang iringi sebarang topik berkenaan sekolah tamil, satu situasi ‘menang-menang’ harus dicari,” katanya.

Situasi ‘menang-menang’ yang dimaksudkan:

Sekolah-sekolah Tamil wajib di gantikan dengan konsep baru iaitu ‘Projek Sekolah Wawasan Tamil.’

Projek sekolah wawasan dengan kemudahan asrama akan bertumpu di lokasi dimana banyak kaum India seperti Segamat, Kulai dan Setiawan.

Mereka yang inginkan mengikuti sekolah tamil boleh menghantar anak di mana-mana 10 sekolah yang akan dibina di lokasi yang dikenalpasti. Mereka yang tinggal jauh daripada 10 lokasi tersebut pula boleh menempatkan anak mereka di asrama.

Melalui inisiatif ini, walaupun bilangan sekolah tamil akan berkurang, kualiti pendidkan akan meningkat memandangkan sekolah terbabit diberi status sekolah wawasan dan isu sekolah tamil daif akan terpadam.

BUDAYA DAN TRADISI SEBAGAI PENAWAR BUDAYA SAMSENG

Masalah sosial utama dalam kalangan orang India hari ini ialah isu ‘gangsterisme’.

“Mereka yang terpinggir daripada pembangunan pesat di sekeliling mereka akan mendapati semangat setia kawan serta amalan tradisi kumpulan gangster memberikan mereka ‘sense of belonging’.

“Untuk merawati masalah ini, mengenal pasti kawasan yang padat dengan masyarakat India B40 dan membina sebuah dewan orang ramai di situ.

“Melalui pembinaan satu dewan ini, pelbagai aktiviti kebudayaan seperti kelas tarian klasik seperti ‘bharatanatyam’, kelas silambam boleh dijalankan. Kos penyelenggeraan pula boleh dikutip melalui sewa yang dikenakan untuk mengadakan majlis perkahwinan dan makan malam.

“Melalui interaksi yang bakal dibentuk di antara komuniti India melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dewan ini, ‘sense of belonging’ yang sebelum ini diperoleh melalui penglibatan di dalam geng kongsi gelap, akan turut dijumpai mereka di sini,” katanya.

Kajian menunjukkan untuk mengubah mentaliti seseorang ia harus bermula daripada perubahan persekitaran.

RM5 juta x 10 lokasi yang dikenal pasti untuk tujuan ini adalah di Segamat, Kulai, Setiawan, Rawang, Teluk Intan dan Sungai Petani.

Selain itu, turut dipertimbangkan untuk diselitkan bersama adalah Program Biasiswa Cemerlang :

1 – 30 pelajar cemerlang India ke Ivy Leaque Universiti –

– 30 x RM 500,000 = RM 15 juta

2 – 100 pelajar untuk Program Sarjana di IPTA

– 100 pelajar x RM 50,000 = RM 5 juta

Jumlah RM 20 juta

Dan inisiatif menyelesaikan masalah kuil atau perniagaan yang dijalankan oleh kaum India tanpa kebenaran atau permit yang sepatutnya akan dipanggil Program Penyelesaian RIBBI (Rumah Ibadat & Bisnes Bukan Islam).

Melalui bajet ini akan di bekalkan dengan RM25 juta untuk mencari penyelesaian yang adil untuk kesemua pihak selain mengelakkan konfrontasi yang berlaku di Seafield dan yang dirasai hari ini dalam isu tanah pengusaha dusun durian di Pahang.

PEMANGKIN PERUBAHAN STRUKTUR SOSIAL KAUM INDIA

Road map ini akan menjadi wadah perjuangan kaum India dalam usahanya untuk memperbaiki dan mengukuhkan kedudukan sosio ekonomi mereka di Malaysia, sekali gus mewujudkan satu keharmonian dan mecetuskan revolusi perpaduan yang kian luntur sejak kebelakangan ini.

Pelaksanaan road map ini akan menganjakan paradigma sosio ekonomi kaum India.

Malah kata bekas ahli perniagaan berjaya itu, sekiranya wujud kekangan kewangan kerana Covid-19, kerajaan juga boleh mencari sumber pendapatan melalui kenaikan cukai import bagi minuman keras dan rokok yang tidak mengalami perubahan selama 15 tahun.

“Juga melalui cukai judi, tambahan RM180 juta ini sememangnya dapat dicari dan kembali digunakan untuk rakyat.

“Semua ini juga boleh menjadi kenyataan seandainya kita mempunyai pemimpin Melayu bukan sahaja bijak dalam mengatur perancangan untuk komuniti ini sebaliknya pimpinan berjiwa besar untuk terus memperjuangkan nasib masyarakat India di negara ini,” ujarnya.

Hakikatnya apa yang dirancang mungkin nampak rumit tetapi sia boleh jadi kenyataan.

Malah dengan penuh yakin, Dr Santhara berkata, cadangan ini diberikan ‘lampu hijau’ perjuangan untuk masyarakat India dan permasalahan dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun. –MalaysiaGazette

Parti Bersatu platform Edmund bantu masyarakat India