BARU-BARU ini, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara membuat kejutan apabila bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beberapa minggu lepas.

Ianya sekaligus menunjukan Edmund wakil bukan bumiputera pertama menyertai Bersatu diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin di kala parti itu sedang bergolak secara dalaman.

Penulis yang pernah berkesempatan bertemu dengan Edmund sebelum menyertai Bersatu diberitahu beliau hanya berminat untuk memperjuangkan kebajikan rakyat dan bukan berpolitik sepanjang waktu.

“Apa yang Bersatu perjuangkan itu hampir dekat dengan diri saya, sememangnya Bersatu jauh lebih terbuka kepada semua kaum selain berteraskan Perlembagaan negara telah memberi semangat serta sokongan untuk saya sertai parti ini.

“Antara agenda saya ialah untuk terus meneruskan hak dan perjuangan membantu masyarakat India dan minoriti lain yang juga sememangnya menjadi intipati Bersatu dari awal lagi tanpa ganggu gugat prinsip misi parti ini.

“Saya gembira dengan keputusan ini dan tidak perlu berfikir panjang mahupun berganjak, banyak yang saya kena fokus dan buat sebenarnya, bermain retorik politik sepanjang masa bukanlah style saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebenarnya bekas ahli perniagaan sebelum beralih ke dunia politik sememangnya pernah menimbulkan tanda tanya mengapakah ketika berada di puncak dunia kegemilangan dalam dunia korporat tiba-tiba bersusah payah memperjuangkan kebajikan rakyat.

Malah pemegang saham terbesar di Masterskill Education Group yang juga merupakan syarikat tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur itu bertindak meninggalkan semuanya dengan hasrat berkhidmat dan bertanding di tempat kelahirannya sendiri di Segamat.

Bagaimanapun ketika Edmund menyatakan hasrat untuk bertanding di kubu kuat MIC yang juga merupakan tempat Presiden MIC ketika itu, Datuk Seri Dr S Subramaniam namun ramai merasakan itulah adalah ‘lawak jenaka’ kerana pastinya beliau tidak akan menang.

Tetapi lain pula yang terjadi, kerana mahupun perubahan penduduk setempat yang sebelum ini mengundi Subramaniam bertindak memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Edmund dengan memberikan kemenangan tidak disangka-sangka kepadanya.

Lebih mengejutkan di sini adalah hakikat kekalahan tersebut menyusul pengumuman insentif RM4,000 kepada 250 peneroka Felda Palong Timur Dua dan Felda Palong Timur Tiga di Johor oleh Subramaniam dua hari sebelum hari mengundi di Segamat.

Edmund juga telah mula turun padang beberapa tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 malah telah mempunyai pusat khidmatnya sendiri sehingga ramai menggelarnya de facto YB ketika itu lagi.

Niat beliau secara jelas mahu membantu rakyat meningkatkan taraf hidup mereka dan bukan mengejar jawatan ianya sudah cukup untuk pengundi memberinya undi mereka sekaligus menjadikan wakil rakyat Segamat.

Ada juga cakap-cakap kemenangan Edmund sebenarnya kerana rakyat menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) namun pada masa sama ada juga calon PKR seperti Norsamsu Mohd Yusof  di Buloh Kasap iaitu salah satu DUN yang terletak di dalam Parlimen Segamat kalah kepada calon BN ketika itu.

Sebenarnya jawatan menteri mahupun presiden sebuah parti bukanlah jaminan kemenangan ‘kekal’ untuk sesuatu kawasan yang undinya menggunakan kuasa rakyat kerana hakikatnya rakyat celik serta tahu apakah sebenarnya yang mereka mahu.

Walaupun hanya bergelar ‘Yang Berhormat’ pada tahun 2018, sebenarnya rutin sebagai wakil rakyat bermula sejak tahun 2013 dengan pastinya dengan menggunakan ‘wang sendiri’ serta keringat siang malam bagi memastikan apa yang dijanjikan itu bukan retorik.

Jika ada tidak tahu, Edmund juga merupakan antara ahli politik yang mempunyai pelbagai kelayakan akademik dengan pencapaian hebat menjadi ahli Parlimen terawal mengisytiharkan asetnya yang lebih RM200 juta walhal ada juga masih lagi menyembunyikan nilai sebenar harta mereka.

Pernah juga Edmund mengakui dirinya juga ‘ketakutan’ dengan pengisytiharan itu kerana berfikir panjang tentang keselamatan keluarga dan dirinya namun tetap dilakukannya juga.

Namun pelik sekali apabila rata-rata ahli termasuk pemimpin tertinggi memilih untuk berhijrah ke parti baharu mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Edmund pula memilih Bersatu dengan hasrat sinar baharu untuk perjuangannya.

Sebelum itu, antara 11 wakil rakyat yang mengisytiharkan keluar daripada KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Perikatan Nasional (PN) di Parlimen adalah Edmund sendiri yang kemudian mendapat kecaman besar.

Pastinya antara kecaman itu termasuklah tuduhan sogokan wang serta jawatan untuk menjatuhkan PH tetapi jika di fikirkan secara logik, seorang ahli korporat berjaya dengan aset ratusan juta juga telah merasai semua kegemilangan berada di puncak, adakah ‘sogokan’ boleh pengaruhinya melakukan sesuatu menjatuhkan imej serta moralnya?

Keputusan Edmund untuk keluar daripada PKR di buat dengan mengambil kira satu faktor sahaja iaitu kepentingan rakyat Segamat dengan sebarang kemelut berpanjangan pastinya menjejaskan rugikan rakyat.

Lagi-lagi dengan permulaan pandemik Covid-19 sebarang ketidak stabilan politik akan menyebabkan Malaysia berdepan dengan masalah jauh lebih serius.

Berikutan tindakan Mahathir yang membuat keputusan unilateral meletak jawatan sehingga kerajaan PH tumbang, Edmund pula menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

Tindakan Edmund juga terbukti tepat apabila sebuah tinjauan global mendapati Malaysia di bawah kepimpinan Muhyiddin mendapat pengiktirafan di antara lima negara terbaik dunia ‘penerimaan rakyat’ tertinggi terhadap tindakan kerajaan dalam mengekang wabak Covid-19.

Corak politik baru yang berlaku di Malaysia turut menyaksikan Edmund dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan di bawah teraju Tan Sri Annuar Musa.

Akhirnya kementerian itu mendapat rating tinggi serta pujian umum khasnya netizen berikutan pelbagai inisiatif serta tindakan pantas mereka berdua dalam hampir semua perkara khasnya ketika pandemik.

Aura beliau yang menyerlah di Segamat selama ini mula dilihat di peringkat nasional ada juga desas desus parti-parti lain dalam negara mula ‘melamarnya’ dengan jawatan tinggi antaranya Gerakan dan MIC.

Malah ramai membuat spekulasi tekaan kononnya Edmund akan menubuhkan parti politik sendiri serta cuba menaikkan ianya seperti Masterskill atau kejayaan lain dalam dunia korporat.

Tetapi sekali lagi Edmund berjaya membuktikan keutamaan beliau adalah rakyat dan retorik politik berpanjangan tidak akan memberi apa-apa kepada rakyat sebaliknya apa yang di kehendaki ketika ini adalah kestabilan politik sahaja.

Penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (PN) menyaksikan gabungan tiga parti Melayu terbesar di Malaysia yang secara umumnya  tidak dapat dinafikan ia mampu menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat berbilang bangsa.

Mungkin juga untuk mengelak persepsi seperti itu, Edmund membuat keputusan bersejarah apabila beliau menyertai Bersatu secara rasmi sekaligus menjadikan beliau ahli Parlimen bukan Bumiputera tunggal menjadi ahli bersekutu Bersatu.

Motifnya, untuk meneruskan hak dan perjuangan membantu masyarakat India dan minoriti lain di negara ini sambil mencantas persepsi ‘Islamphobia’ yang menjadi senjata utama PH mengaut undi.

Apa yang dilakukan oleh Edmund wajib disambut baik oleh semua pihaknya khasnya Bersatu itu sendiri malah mampu melonjakkan nama parti tersebut di kalangan bukan Islam dengan hanya akan menguntungkan mereka pada masa pilihan raya kelak.

Bersatu juga boleh menubuhkan sayap bukan bumiputera di dalam PPBM dan calon terbaik untuk mempimpinya juga adalah Edmund dengan rekod cemerlangnya dalam mengubah landskap politik dengan keupayaan parti itu menjadi ‘gergasi’ pada satu hari nanti.

Dalam politik, apa jua kemungkinan boleh menjadi kenyataan. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Teka teki hala tuju Edmund akhirnya terjawab