Edmund Santhara

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara yang dahulunya ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dipecat akhirnya membuat pilihannya sendiri.

Walaupun sebelum ini ada ura-ura yang mengatakan beliau akan menyertai parti terbesar masyarakat India, MIC selain Gerakan namun hari ini beliau memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas ahli perniagaan berjaya itu sebelum ‘melompat’ ke dunia politik berpendapat, keputusan menyertai Bersatu sebenarnya bertepatan dengan prinsip serta perjuangannya selama ini selepas berfikir semasak-masaknya.

Beliau telah menyerahkan borang keahlian seumur hidup kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin petang semalam di Parlimen.

Keputusan itu juga sekaligus menjadikannya ahli Parlimen bukan dalam kalangan bumiputera pertama menyertai Bersatu.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) beberapa hari lepas, mennyatakan hasrat saya, misi visi serta perjuangan saya.

“Sememangnya pandangan serta penyertaan saya mendapat restu beliau.

“Malah rakan seperjuangan seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga Zuraida Kamaruddin juga memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dengan keputusan ini. Saya tidak pernah berdepan dengan apa-apa tekanan mahupun paksaan mana-mana.

“Bersatu itu sendiri sebenarnya yang jauh lebih terbuka kepada semua kaum selain berteraskan Perlembagaan negara telah memberi semangat serta sokongan untuk saya sertai parti ini.

“Saya gembira dan berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya selepas mengadakan sidang media mengumumkan keputusan tersebut.

Sambung Edmund yang juga Timbalan Menteri Wilayah, antara agenda beliau ialah untuk terus meneruskan hak dan perjuangan membantu masyarakat India dan minoriti lain yang juga sememangnya menjadi intipati Bersatu dari awal lagi.

“Memang parti ini berteraskan pribumi namun hak serta keperluan kaum lain di negara ini tidak pernah pula di anak tirikan selama ini.

“Saya akan teruskan amalan ini, bantu apa perlu kerana saya juga memahami semua keperluan dan kehendak terutamanya masyarakat India di negara ini,” ujarnya.

Sememangnya keputusan Edmund itu juga bakal memberikan sinar kepada rakyat apatah sejak bergelar Ahli Parlimen Segamat kemudiannya menjawat pula jawatan timbalan menteri, beliau tidak pernah henti-henti bekerja untuk masyarakat.

Malah nama beliau popular kerana pelbagai transformasi, perubahan serta keperluan rakyat di negara ini tidak kira kehendak mereka dari isu pendidikan kepada PPR, kemiskinan mahupun sosio ekonomi.

Umum juga tidak akan sesekali lupa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau bersama menteri dan warga kementerian berusaha siang malam mengerah tenaga memastikan isu Pasar Borong Selayang itu dapat diselesaikan.

Bagaimana warga asing yang mendominasi pasar-pasar itu sehingga menyebabkan bukan sahaja menjadi punca peluang pekerjaan langsung tiada buat rakyat tempatan sebaliknya mengekang negara dari terus rugi berbilion ringgit dalam industri keselamatan makanan sebelum ini.

Pada 24 Februari lalu, seramai 11 ahli Parlimen PKR termasuk Edmund didakwa mengisytiharkan keluar parti dan gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Sejak itu sehingga semalam, Edmund belum menyertai mana-mana parti sehinggalah keputusan bersama-sama Bersatu di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin. –MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.