Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Wisma Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berbincang dengan barisan peguamnya bagi mengambil tindakan lanjut susulan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin yang diarah membayar RM100,000 kepada parti itu baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan melihat alasan penghakiman itu sebelum sebarang tindakan diambil.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PKR mempunyai satu lagi platform untuk menyemak semula keputusan itu iaitu Mahkamah Persekutuan.

“Tapi dari segi fakta kes, sabitan semua itu berlaku dan ia dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. Ini bermaksud tindakan PKR mengenakan caj komitmen kewangan itu adalah betul,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan mengarahkan Zuraida supaya membayar bon RM100,000 kepada PKR susulan tindakan melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Keputusan berkenaan dibuat panel tiga hakim merangkumi Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk See Mee Chun Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR selepas membenarkan saman parti politik itu.

Pada 28 September 2020, Saifuddin yang ketika itu Setiausaha Agung PKR menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast