KUALA LUMPUR – Nourul Wahab mengaku dia pernah ditawarkan untuk terlibat dalam program realiti nyanyian Big Stage 2020 sebagai juri jemputan.
Bagaimanapun Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 42, berkata dia terpaksa menolak tawaran tersebut atas alasan tertentu.
“Ada depa (mereka) panggil tapi kami (saya) tak boleh (beri komitmen) Ahad malam. Kami tak keluar malam jauh-jauh. Kami tak mahu buat, fokus dah ke lain.
“Faizal Tahir berkaliber… tengok sekerat (sebahagian) semalam. Berhenti lepas tu sebab bunyi kat (di) televisyen buat aku rasa nak bagi dua peratus juga! (usik-usik),” katanya menerusi ruangan komen di Instagram milik Sherry Al-Hadad.
Nourul berkahwin dengan Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas pada 25 Disember 1996 dan memiliki seorang anak perempuan.
Mereka berpisah pada 28 Februari 2007.
Selepas itu, Ajai mendirikan rumah tangga bersama Norliza Ilias pada 15 Ogos 2009 manakala Nourul pula melangsungkan perkahwinan bersama Eric Daniel Depp pada 6 Jun 2012 dan kini memiliki tiga cahaya mata.
Sebelum ini ejaan bagi nama Nourul adalah Nurul.
Nourul menjawab pertanyaan seorang peminat yang mahu dia menjadi salah seorang juri jemputan Big Stage 2020.
“Harap depa panggil Nourul jadi juri jemputan selepas ni… mesti best,” tulis pengikut berkenaan.
Dalam program tersebut, tiga ikon muzik dilantik menjadi juri tetap iaitu Ajai, Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah.
Setiap minggu seorang juri jemputan diundang bagi mengadili kesemua peserta yang bertanding.
Big Stage dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad dan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – MalaysiaGazette