APABILA kita bercakap tentang kebajikan dan perjuangan rakyat, saya mengingat kembali sejarah perkumpulan terbesar di tanah ini, iaitu UMNO dan penubuhannya.
UMNO telah mengumpul sekalian rakyat, mahupun tua atau muda, yang biasa mahupun cendekiawan membincangkan secara kolektif agar perkumpulan ini subur di setiap pelosok tanah ini.
Ahli UMNO pada hari ini harus ingat dan sedar, atas buah fikiran, keringat yang terdahulu maka mereka berhijrah, memperjuangkan nasib bangsa tanah ini, menuju masyarakat yang lebih baik, dan akhirnya mereka berjaya memerdekakan tanah ini.
Ada pun pada hari ini, kita ini dilihat seperti satu per empat manusia, merdeka di luaran sahaja tetapi tidak pada diri sendiri. Kita lupa akan sumpah, janji dan doa orang terdahulu di atas bendera sang saka bangsa.
Kita menjadi rakus, menghancurkan antara satu sama lain, menidakkan hak rakyat. Harus ingat, jika seorang pemimpin hanya hidup dari hasil bumi dan pajak rakyat, maka celaka lah tanah ini.
Seharusnya kita menggerakkan ekonomi yang mandiri dengan atas usaha kita dan bukan hanya menadah tangan semata-mata. Janganlah kita bagaikan menunggu anggur yang menjadi ungu, seharusnya kita adakan ekonomi yang mandiri dengan hati yang tulus dan benarnya membuat.
Rakyat sudah melihat kita seolah-olah omong kosong dan beretorik dengan ABATA. ABATA, agama, bangsa dan tanah air, ini yang sering dilaungkan dan dijadikan azimat kepada setiap Ahli UMNO. Namun, adakah kita memahaminya?
Haji Oemar Said Tjokroaminoto pernah berkata; “Kemerdekaan, persamaan dan persaudaraan adalah Islam. Pikiran boleh berbeza dan fikiran berbeda itu selalu baik. Nasionalisme, komunisme, sosialisme.
Namun yang berbahaya, adalah ketika tangan dipergunakan untuk menterjemahkan kita dengan kekerasan. Islam adalah salam perdamaian. Islam adalah perjuangan yang menuju kepada kehidupan yang lebih baik.”
Maka apakah kita pada hari ini? Ada pun kita sudah hilang nilai yang dikatakan sebagai perjuangan, dan apakah itu perjuangan kepada perkumpulan ini? Untuk menjawab persoalan ini, kita harus berhijrah.
Hijrah. Hijrah bermaksud seseorang itu berhak mencari kiblat baru. Menuju masyarakat yang lebih baik.Untuk menjadikan perkumpulan organisasi ini membawa kebaikan dulu, kini, selamanya dan menuju masyarakat yang lebih baik, kita harus berhijrah, UMNO harus berhijrah.
Berhijrah menuju perkumpulan yang lebih utuh dan baik. Perkumpulan ini yang memperjuangkan nasib orang melayu dan bangsa lain, harus ditiup angin semangat yang baru dan berhijrah lah kita menuju masyarakat yang lebih baik agar kita dapat melihat rakyat tidak lagi menjadi seperempat manusia.
Muhammad Shaqib Shahrilnizam
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai.