ISU tuntutan Filipina ke atas Sabah sering menjadi batu penghalang dalam memperbaiki hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sejak pembentukan Malaysia pada 1963. Meskipun terdapat kata sepakat dunia mengenai Sabah tertakluk di bawah kedaulatan Malaysia, dari masa ke semasa, segelintir ahli politik Filipina akan memainkan drama politik ini untuk memenuhi agenda politik mereka.

Yang terkini adalah kemungkinan pembukaan semula Pejabat Ehwal Borneo Utara di Jabatan Ehwal Luar (DFA) Filipina. Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr, mengatakan pejabat ini dikhaskan untuk menuntut semula Sabah. Selain itu,
Jawatankuasa Ehwal Luar, Dewan Perwakilan Filipina telah meluluskan Rang Undang-Undang Dewan 6399 yang akan menyertakan Sabah ke dalam peta pasport Filipina.

Rang itu akan meminda Akta Pasport Filipina 1996 yang "bertujuan untuk menekankan kemenangan kita di Laut Filipina Barat ke atas China di Tribunal Timbangtara Antarabangsa di Hague, Belanda, dan menegaskan hak undang-undang dan sejarah kita ke atas Sabah”. Satu lagi pertikaian yang melibatkan kedua-dua negara yang telah menarik perhatian umum telah berlaku antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein dengan Locsin di Twitter. Pada 27 Julai, Locsin menegur Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Manila setelah pihak AS membuat ciapan Twitter berkenaan pengedaran alat kebersihan diri kepada warga Filipina yang dihantar pulang dari Sabah, Malaysia, dengan berkata, "Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia jika anda ingin berurusan dengan Filipina".

Ini segera menimbulkan reaksi Hishammuddin pada 29 Julai di mana beliau menyifatkan kenyataan Locsin tidak bertanggungjawab dan Malaysia akan memanggil Duta Filipina ke Malaysia untuk mendapatkan penjelasan. Beliau menegaskan "Sabah merupakan dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia". Pertikaian ini berlanjutan apabila Locsin mendakwa tuntutan Filipina ke atas Sabah ialah quot;pernyataan fakta berdasarkan sejarah" dan Malaysia cuba quot;menggagalkan Anugerah Timbangtara". Beliau malah menegaskan, "tiada negara dapat memberitahu negara lain mengenai apa negara lain itu boleh dan tidak boleh bercakap terutama berhubung dengan apa yang dianggap oleh negara itu sebagai haknya sendiri" dan justeru, akan memanggil duta Malaysia.

Tuntutan Filipina ke atas Sabah berdasarkan tafsiran berbeza mengenai Perjanjian 1878 antara Sultan Sulu dengan saudagar Alfred Dent dan Baron von Overbeck. Istilah pajakan yang samar-samar dalam perjanjian itu mempunyai pelbagai makna.
Tafsiran pihak Inggeris bermakna "pemberian dan penyerahan" yang menjadi asas pegangan Malaysia. Ini bertentangan dengan pemahaman Filipina mengenainya
sebagai "penyewaan" seperti yang ditafsirkan oleh Kesultanan Sulu.

Meneruskan perbahasan pentafsiran istilah tersebut hanya membuang masa kerana hampir mustahil untuk kita memahaminya mengikut konteks. Bagi menyelesaikan
pertikaian ini, kita harus mempertimbangkan fikiran orang Sabah, iaitu konsep penentuan nasib sendiri dalam undang-undang antarabangsa. Hakikatnya, jika dilihat dari perspektif ini, ia jelas membuktikan ketidaksahihan tuntutan Filipina. Sebelum pembentukan Malaysia, kerajaan Persekutuan Tanah
Melayu dan Britain telah menubuhkan Suruhanjaya Cobbold untuk meninjau pendapat masyarakat Sabah terhadap perkara ini. Hasilnya, sebahagian besar rakyat Sabah menyokong pembentukan Malaysia.

Selepas itu, pilihan raya umum di seluruh negeri berdasarkan hak mengundi dewasa diadakan pada Disember 1962. Isu utama yang dibangkitkan dalam pilihan raya itu adalah sama ada Sabah sebagai satu negeri harus menyertai Malaysia. Dari keseluruhan 119 kerusi, 113 dimenangi oleh parti politik yang menyokong
pembentukan Malaysia, sementara enam selebihnya dimenangi oleh calon bebas yang juga menyokong cadangan itu.

Ini membuktikan rakyat Sabah telah menggunakan sepenuhnya hak penentuan nasib sendiri dan membuat keputusan untuk menyertai Malaysia sejajar dengan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Namun, Filipina menolak keputusan ini.
Walaupun menghadapi kesukaran, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengadakan rundingan dengan Filipina dan Indonesia semasa mesyuarat persidangan kemuncak tiga pihak di Manila pada 1963.

Hasil persidangan itu ialah Persetujuan Manila, di mana satu suruhanjaya PBB diundang untuk mengenal pasti persepsi orang Sabah terhadap pembentukan Malaysia. Filipina juga bersetuju untuk menyambut pembentukan Malaysia sekiranya suruhanjaya tersebut mendapati keputusan yang serupa dengan Suruhanjaya
Cobbold sebelumnya.

Sekali lagi, hasilnya menunjukkan majoriti rakyat Sabah ingin menyertai Malaysia. Namun, walaupun Filipina telah menzahirkan komitmennya untuk mengiktiraf penyertaan Sabah dalam Malaysia semasa Persetujuan Manila, hingga hari ini ia
masih mengabaikan keputusan itu dan meneruskan pertikaiannya. Ini mendorong kita untuk menyelidik apakah hasrat sebenarnya di sebalik cakap-cakap kosong Filipina ini.

Ini mungkin satu muslihat politik untuk mengalihkan perhatian rakyat Filipina daripada salah urus pemerintah mereka dalam menangani wabak Covid-19. Ia juga kerkemungkinan mewar-warkan kemenangannya ke atas China dalam Timbangtara
Laut China Selatan tanpa menamakan China secara langsung akibat  kebimbangan sekatan ekonomi oleh gergasi Asia ini. Barangkali juga ia merupakan permainan politik menjelang pilihan raya presiden 2022 di mana isu ini telah dipergunakan
untuk mendapatkan kepentingan politik.

Namun, Filipina harus ingat drama politik ini juga satu pedang bermata dua. Walaupun manfaat dapat diraih dalam negeri, hubungan dua halanya dengan Malaysia serta perpaduan Asean pastinya akan terjejas. Sedang Perang Dingin Baru antara AS dengan China berkemungkinan bermula, kejayaan Asean dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau ini semasa Perang Dingin yang terdahulu perlu diambil sebagai pelajaran yang amat berharga.

Justeru, Filipina perlu digesa membuka matanya agar terdorong memperkukuh perpaduan Asean bersama-sama dengan Malaysia dan negara-negara anggota lain dalam prolog Perang Dingin Baru ini, dan bukannya mencetuskan pertikaian diplomatik yang akhirnya mendatangkan kerapuhan perpaduan Asean.

Oleh: Jamari Mohtar dan Lim Ji Yi, Pasukan Penyelidik di EMIR Research, sebuah badan pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-
saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast