Temubual bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui di Bangunan UMNO Sabah, Kota Kinabalu. foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Soal siapa bakal Ketua Menteri Sabah hanya akan dibincangkan selepas Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah menang sekurang-kurangnya 37 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung 26 September ini.

Untuk itu, tugas yang paling penting sekarang, menurut Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah memastikan kemenangan tersebut dapat dicapai dan parti tidak terperangkap dengan isu siapakah calon ketua menteri.

“Pegangan parti-parti dalam BN ialah menentukan semua kerusi yang kita tandingi seboleh-bolehnya menang. Bagi memperolehi kemenangan dan membentuk kerajaan, ianya memerlukan sekurang-kurangnya 37 kerusi DUN.

“Untuk itu kita jangan terperangkap jika keperluan untuk menamakan seseorang untuk sebagai Ketua Menteri tetapi yang paling penting adalah berusaha untuk memenangkan calon-calon yang dicadangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Bangunan UMNO Sabah malam ini.

Mengulas lebih lanjut, Zahid berkata, BN juga memegang prinsip dan amalan bahawa pemilihan Ketua Menteri Sabah dibuat berdasarkan perbincangan dalam kalangan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meraih kemenangan.

“Apa yang harus kita lakukan ialah dengan menentukan bahawa pemilihan kali ini bukan dibuat oleh seseorang, tetapi dibuat secara syura.

“Ertinya dalam kalangan ADUN-ADUN yang menang untuk memilih di kalangan mereka siapakah yang sepatutnya dicalonkan untuk menjadi ketua menteri kerana nama itu perlu dipersembahkan kepada TYT untuk mendapat endorsement,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, BN amat praktikal dan telah memuktamadkan kaedah itu dalam kenyataan media ketika melantik Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengarah PRN Sabah.

“Kita telah sebutkan bahawa ketua menteri hanya akan dipilih setelah kita cross the red line (menang 37 kerusi sekurangnya) dan ketika itulah ADUN-ADUN akan berbincang sesama mereka untuk menentukan siapakah yang terbaik di kalangan yang baik-baik untuk jadi ketua menteri,” tambah beliau.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, calon DUN Sulaman Datuk Hajiji Noor ditawarkan sebagai calon Ketua Menteri negeri di bawah bayu itu jika Gabungan Rakyat Sabah menang dalam PRN kali ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, keputusan itu perlu dipersetujui rakan-rakan Bersatu.

Hajiji yang juga Pengerusi Bersatu Sabah kemudiannya dilaporkan berkata beliau menyerahkan keputusan tersebut kepada GRS bagi menentukan sama ada beliau layak atau tidak menjadi Ketua Menteri jika gabungan itu menang PRN Sabah pada 26 September ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast