Calon Warisan N.26 Moyog, Datuk Darell Leiking bercakap kepada media pada Program 'Meet and Greet' serta Perlawanan Bola Sepak Persahabatan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Stadium Penampang, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Kerajaan persekutuan perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penduduk tanpa kerakyatan di Sabah.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking yang juga Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata kerajaan perlu bertindak tegas kerana mempunyai kuasa terhadap aspek keselamatan negara.

Kerajaan negeri pula ujar bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan dalam masa sama bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan.

“Masalah PATI di Sabah adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Mereka harus menangkap PATI, Sabah juga ada satu lagi masalah iaitu stateless people (penduduk yang tak diiktiraf) dan itu juga perlu diselesaikan oleh kerajaan persekutuan.

“Kerajaan negeri Sabah kerjasama kerajaan dengan Kerajaan Persekutuan (G2G) untuk selesaikan, kita ada pihak berkuasa tempatan, untuk tangani masalah pendatang tanpa izin, tetapi perlu diingat, siapa yang kendalikan keselamatan Malaysia? Kerajaan pusat. Kerajaan persekutuan yang kendalikan polis, askar dan pihak berkuasa lain.

“Jadi mereka (kerajaan persekutuan) perlu melakukan tugas di bahagian mereka, mereka tidak boleh membiarkan Sabah dengan membiarkan sahaja orang asing masuk ke Sabah secara haram. Tangkap dan hantar balik.Kerajaan pusat adalah pentadbir keselamatan di Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika hadir di Program ‘Meet and Greet’ bersama pengundi di Stadium Penampang.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti kemasukan PATI kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian selepas munculnya satu kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Laut di Sabah yang berpunca daripada Tindakan PATI yang telah diusir ke negara asal, Filipina tetapi masuk semula secara haram.

Difahamkan, individu tersebut memasuki Malaysia kerana mahu berjumpa isterinya.

Kawalan sempadan yang ketat merupakan salah satu cara kerajaan Malaysia untuk membendung penularan pandemik Covid-19 yang telah menjangkiti lebih 9,000 orang dan mengorbankan 128 nyawa di negara ini.- MalaysiaGazette