KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan telah meluluskan peruntukan antara RM4 juta hingga RM5 juta untuk mengindahkan Taman Awam Bukit Rimba bagi kegunaan para pengunjung dan komuniti setempat.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelan komprehensif sedang dalam tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dilaksanakan secara berfasa ke atas taman awam itu.
“Kebanyakan kemudahan awam sedia ada di taman ini kelihatan usang dan mempunyai kerosakan kecil yang perlu dinaik taraf dengan segera.
“Malah terdapat sebatang sungai di bahagian selatan taman ini bakal dibuka sebagai kawasan riadah tambahan kepada pengunjung taman awam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya mahu menjadikan taman rimba lebih cantik, luas dan mesra pengguna pada masa akan datang.
Jelas beliau, aktiviti menanam pokok dan kerja pemuliharaan di taman awam itu dilaksanakan secara berterusan walaupun terdapat projek-projek perumahan berdekatan taman ini, kerajaan tetap memastikan pembangunan diseimbangkan dengan aspek alam sekitar.
“Semua warga kota diseru untuk sama-sama memastikan keadaan taman ini sentiasa terpelihara tanpa sebarang aktiviti vandalisme.
“Sebuah laman sosial komuniti Sahabat Taman Awam Bukit Kiara diwujudkan sebagai platform kepada komuniti setempat dan pengguna taman awam ini untuk berinteraksi antara satu sama lain.
“Melalui medium ini juga mereka boleh mengutarakan idea dan usul penambahbaikan dan pengindahan taman awam ini,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 500 orang sukarelawan hari ini memulakan aktiviti menanam 1,000 batang pokok pelbagai jenis serta membaik pulih dan menceriakan kembali kemudahan-kemudahan awam.
Bagi menambahkan lagi keceriaan taman, pokok-pokok renek seperti Thaumatococcus serta pokok berbunga seperti Alpinia Purpurata ditanam di antara pokok-pokok rendang sedia ada.
Selain itu, pokok rendang seperti Hopea Odorata (merawan), Shorea (meranti), Kompassia Malaccensis (kempas), Mesua Ferrea serta pokok buah nadir turut ditanam yang sekaligus boleh menjadi makanan kepada haiwan-haiwan yang menghuni taman awam ini.
Aktiviti mengecat bangku taman, meja piknik, tiang tapak perkhemahan serta menanam rumput padang bola mendapat kerjasama yang baik dari semua sukarelawan pada hari ini.
Taman Awam Bukit Rimba yang berkeluasan 13.3 ekar ini akan bertambah keluasannya menjadi 17.3 ekar hasil sumbangan empat ekar tanah Yayasan Wilayah Persekutuan untuk kegunaan bersama.
Tanah yang disumbangkan ini adalah milik Yayasan yang pada masa ini digunakan oleh pengunjung sebagai laluan masuk utama Taman Awam Bukit Kiara. – MalaysiaGazette