KUALA LUMPUR – Bak pepatah Melayu, jauh di mata, dekat di hati’.
Walaupun terpisah jauh dengan orang yang tersayang, perasaan cinta terhadapnya tetap utuh. Walaupun dibatasi jarak fizikal yang jauh beribu batu, kehadirannya masih terasa dekat.
Mempunyai hubungan jiwa yang kuat sehinggakan jarak pun tidak mampu menjadi batu penghalang, itulah yang cuba digambarkan lagu berjudul Jauh’ karya dendangan bintang rap Alan D, AxelJonas dan Somean K-Clique.
Lagu yang berkonsepkan ‘urban music’ ini menggandingkan Alan D dan AxelJonas dari kumpulan Hip-Hop tempatan MassMusic bersama Somean K-Clique. Lagu yang menyajikan rentak dan bunyi segar ini, dihiasi dengan senikata yang mengangkat tema hubungan cinta jarak jauh.
Mengulas tentang tema lagu ini, Alan D berkata, lagu itu mengambil inspirasi daripada krisis kesihatan yang melanda dunia sekarang apabila Jauh merupakan pengisytiharan cinta antara pasangan yang saling merindui namun tidak boleh kembali ke pangkuan masing-masing kerana terhalang oleh sekatan perjalanan global.
“Jarak jauh bukan penghalang untuk terus mengeratkan lagi hubungan cinta. Seperti maksud peribahasa Inggeris, ‘absense makes the heart grow fonder’.
“Apabila orang tersayang tidak berada di sisi kita, akan menimbulkan rasa rindu yang amat mendalam, sekaligus menyedarkan kita betapa kita kasih dan memerlukan kehadiran seseorang itu dalam hidup kita.
“Lagu ini bagi meraikan kecekalan pasangan diluar sana yang sedang terpisah jauh menanti waktu kembali bersama,” jelas AxelJonas pula.
Sementara itu, karya ciptaan bersama Alan D, AxelJonas, Somean K-Clique itu diterbitkan oleh Def Jam Malaysia dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.
Jauh boleh didapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak bula lalu manakala video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia. – MalaysiaGazette