MANILA – Pandemik koronavirus akan menyebabkan pengeluaran ekonomi di negara-negara membangun Asia menguncup buat kali pertama dalam tempoh hampir enam dekad pada tahun ini sebelum melantun semula pada tahun depan.
Negara-negara membangun Asia mewakili 45 negara di Asia-Pasifik, dijangka menguncup 0.7% pada tahun ini, kata Asian Development Bank (ADB), yang meramalkan angka suku pertama negatif sejak 1962.
ADB sebelum itu meramalkan pertumbuhan 0.1%.
Rantau ini diunjur pulih pada tahun depan dengan berkembang 6.8% – namun masih di bawah ramalan pra-Covid-19, katanya dalam Tinjauan ADB 2020.
Unjuran terkini itu menunjukkan kerosakan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 lebih buruk daripada yang dijangkakan – dengan tiga suku ekonomi rantau merosot pada tahun ini.
”Kebanyakan ekonomi besar di rantau Asia dan Pasifik menjangkakan pertumbuhan sukar pada tahun ini,” kata Ketua Ekonom ADB, Yasuyuki Sawada dalam satu kenyataan.
Menurutnya, ancaman ekonomi yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19 tetap kuat disebabkan gelombang pertama yang meluas atau wabak berulang menyebabkan tindakan kekangan lebih lanjut.
Walaupun wabak itu tetap menjadi risiko penurunan terbesar bagi prospek rantau ini, Sawada berkata, “ketegangan geopolitik” yang merangkumi perang perdagangan dan teknologi antara Amerika Syarikat dan Beijing turut menjejaskan pertumbuhan.
China, yang mencetuskan koronavirus pada bulan Disember, dilihat menunjukkan petanda kukuh ketika ADB mengekalkan ramalan pertumbuhan 2020 pada 1.8%.
Ekonomi kedua terbesar di dunia itu dijangka pulih dengan teguh kepada 7.7% pada tahun 2021, kata ADB.
Ekonomi India pula dijangka menguncup 9.0% tahun ini, kata ADB, jauh lebih buruk daripada pengucupan 4.0% yang diramalkan sebelumnya.
Namun, India dijangka bangkit dengan pertumbuhan 8.0% tahun depan.
Memandangkan wabak Covid-19 ini menjejaskan ekonomi-ekonomi Asia Tenggara, sub-wilayah diunjur mengalami kemerosotan 3.8% tahun ini, sebelum meningkat tahun depan.
Ramalan terbaru menunjukkan pemulihan berbentuk “L” bagi negara-negara membangun Asia, ujar Sawada.
Tekanan permintaan dan harga minyak yang lebih rendah memungkinkan ADB untuk mengekalkan ramalan inflasi bagi ekonomi membangun Asia kepada 2.9% dan mengunjurkan lebih perlahan kepada 2.3% pada tahun 2021. – MalaysiaGazette