Temubual eksklusif Malaysia Gazette bersama Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkenaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 07 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA- Pengenalan pakej-pakej rangsangan ekonomi termasuklah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti mampu menyerap impak penularan pandemik Covid-19 terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Pada 11 September, Jabatan Perangkaan melalui laporan Perangkaan Tenaga Buruh bagi bulan Julai 2020 menunjukkan kadar pengangguran mencatatkan penurunan selama dua bulan berturut-turut selepas merekodkan kadar pengangguran tertinggi pada Mei 2020 iaitu 5.3 peratus.

Kadar pengangguran pada Julai 2020 turun kepada 4.7 peratus atau 28,200 orang berbanding 4.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya dengan jumlah keseluruhan penganggur adalah 745,100.

Meskipun angka 745,100 itu masih tinggi berbanding kadar pengangguran sebelum Covid-19, namun kerajaan menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berjanji untuk terus mencari jalan mengatasi isu tersebut dengan mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Foto hiasan

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan, apabila berlaku pandemik, kerajaan terpaksa memilih untuk memberi fokus tambahan kepada aspek kesihatan umum meskipun mengetahui ianya akan memberi impak negatif kepada ekonomi.

Namun begitu, bagi mengurangkan beban rakyat, pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah dilancarkan.

Ujarnya, seiring dengan kejayaan membendung wabak Covid-19, pembukaan aktiviti secara beransur-ansur dan suntikan pakej rangsangan yang konsisten, Malaysia kini mula menikmati pemulihan ekonomi secara beransur-ansur.

“Apabila berlaku kejutan seperti sekarang adalah wabak Covid-19, sebelum-sebelum ini adalah krisis kewangan, maka sektor swasta akan takut berbelanja dan ini menyebabkan ekonomi akan merudum.

“Maka kerajaan sebagai ejen untuk merancakkan ekonomi kerana mereka mempunyai sumber kewangan, perlu berbelanja dan menerusi PENJANA kita boleh lihat kerajaan memberi insentif-insentif seperti pengecualian cukai untuk pelancongan domestik dan subsidi upah, maka ini bermakna ekonomi itu sedang diurus dan dipulihkan kerajaan.

“Melihat kepada usaha tersebut, pihak swasta sama ada isi rumah atau syarikat-syarikat akan mula bertindak (berbelanja dan mengambil peluang daripada inisiatif berkenaan).

“Katakanlah kerajaan memilih untuk tidak berbuat apa-apa, ekonomi akan terus merudum dan (pada masa itu) kita boleh lihat angka pengangguran semakin tinggi dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hakikatnya PENJANA mampu dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan rakyat baik di Semenanjung mahu pun Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) misalnya amat dihargai oleh pemilik syarikat Keris Sakti Sdn Bhd di Sabah yang turut menerima bantuan di bawah PENJANA.

Shahrulizam Ahmad

Pemilik syarikat, Shahrulizam Ahmad melahirkan rasa syukur lantaran diberi bantuan dan kemudahan untuk memastikan syarikatnya yang mengusahakan perniagaan percetakan serta sulaman baju tidak ‘tutup kedai’ akibat kemuraman ekonomi disebabkan oleh Covid-19.

“Syarikat mendapat subsidi dari kerajaan dan dengan bantuan tersebut tentunya beban syarikat dapat diringankan dan para pekerja mampu untuk terus bekerja seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Chen Kee Ting, pengasas 15 Minutes Bake Sdn Bhd di Kota Kinabalu berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang diterima sebanyak RM18,000.

Chen Kee Ting

Katanya, bantuan PENJANA ternyata telah meringankan perbelanjaan kos operasi termasuk bayaran sewa premis perniagaannya.

“Seramai 15 pekerja kami dapat meneruskan kerja mereka di kedai ini dan ternyata PENJANA menyelamatkan mereka daripada diberhentikan,” katanya.

Artikel berkaitan: Pakej Prihatin, Penjana mula tunjuk hasil positif – Tengku Zafrul

Selain itu, program subsidi upah yang semakin diperluaskan di bawah PENJANA juga mampu membantu majikan dan pekerja yang terlibat dalam sektor-sektor terjejas seperti pelancongan, tambahnya lagi.

PENJANA yang bernilai RM35 bilion dilancarkan dengan tujuan untuk memulihkan ekonomi negara.

Berpaksikan tiga teras utama, Memperkasakan Rakyat; Melonjakkan Perniagaan; dan Merangsang Ekonomi, kerajaan menyediakan 40 inisiatif yang melibatkan RM10 bilion suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pelan Jana Semula Ekonomi bernilai RM35 bilion dilancar