Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Inisiatif kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semua Ekonomi Negara (Penjana) bagi menggerakkan semula ekonomi negara sudah mula menunjukkan hasil positif.

Ia berlandaskan kadar pengangguran yang semakin berkurangan berdasarkan statistik terbaharu pada Jun lalu yang diumumkan Jabatan Perangkaan (DOSM).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kadar pengangguran pada Jun lalu susut sebanyak 0.4 peratus kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus bulan sebelumnya.

“Meskipun terdapat perkembangan positif, kerajaan akan terus memberi perhatian dalam menangani pengangguran dikalangan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tanda-tanda pemulihan ini akan berterusan sekiranya rakyat terus membudayakan norma baharu dalam kehidupan harian.

Tambah Tengku Zafrul, perlaksanaan semula Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) secara menyeluruh akan menyebabkan masalah lain termasuk mengganggu usaha memulihkan ekonomi.

Selain itu, katanya ia juga akan mengganggu fokus kerajaan dalam perancangan Belanjawan 2021 yang akan tertumpu kepada usaha merancakkan semula ekonomi selain memulihkan keyakinan pelabur.

Untuk memastikan kejayaan Belanjawan 2021, pasukan dari Kementerian Kewangan meneruskan Jelajah Belanjawan 2021 untuk mengambil maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat dan industri, ujarnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, setakat 31 Julai lalu, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang dilaksanakan sejak 1 April lepas dianggarkan berjumlah RM66.6 bilion.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM23.3 bilion adalah
jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh Rakyat bernilai RM43.3 bilion.

Tambah beliau, bagi individu yang terkesan dengan Covid-19 mereka boleh hubungi institusi perbankan mulai 7 Ogos lalu untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.facebook.com/bnm.official/posts/10158571163499872. – MalaysiaGazette