Purata gaji dan upah bulanan bagi warganegara Malaysia meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada tahun sebelumnya.

KUALA LUMPUR – Purata gaji dan upah bulanan bagi warganegara Malaysia meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada tahun sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penengah gaji dan upah bulanan turut meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 berbanding RM2,793 pada 2024.

“Perkembangan itu direkodkan menerusi Laporan Survei Gaji & Upah, Malaysia, 2025 yang menyediakan statistik gaji dan upah bagi pekerja sepenuh masa dalam sektor awam dan swasta,” katanya DOSM menerusi satu kenyataan, hari ini.

DOSM berkata, pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan momentum positif pada 2025 dengan bilangan penerima gaji dan upah bulanan meningkat kepada 12.01 juta orang berbanding 11.96 juta orang pada 2024.

“Daripada jumlah itu, warganegara Malaysia merangkumi 10.38 juta orang atau 86.4 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji sepenuh masa,” katanya.

Menurut DOSM, Sektor Perkhidmatan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan bilangan penerima upah dengan 7.42 juta orang, bersamaan 71.5 peratus daripada keseluruhan penerima gaji dan upah.

“Jumlah itu meningkat 1.8 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Agensi itu juga mendedahkan, dari segi purata gaji dan upah bulanan mengikut sektor, Perlombongan dan Pengkuarian merekodkan nilai tertinggi sebanyak RM6,175.

“Ia diikuti sektor Perkhidmatan sebanyak RM3,993, Pembuatan (RM3,357), Pembinaan (RM3,188) dan Pertanian (RM2,575),” katanya.

Dalam pada itu, DOSM juga berkata, pekerja mahir yang merangkumi 36.6 peratus daripada keseluruhan penerima gaji merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi sebanyak RM5,799 pada 2025, meningkat dari RM5,582 pada 2024.

“Kategori separuh mahir pula mencatatkan purata RM2,714 berbanding RM2,604 pada 2024, manakala pekerja berkemahiran rendah merekodkan RM2,184 berbanding RM2,128 sebelumnya.

“Kategori separuh mahir menyumbang 55.6 peratus daripada keseluruhan penerima gaji dan upah,” katanya.

Selain itu, jelasnya, dari segi jantina, penerima gaji lelaki berjumlah 6.08 juta orang atau 58.6 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji warganegara Malaysia.

“Purata gaji dan upah bulanan lelaki meningkat 4.3 peratus kepada RM3,921 berbanding RM3,759 pada 2024.

“Bagi perempuan pula, purata gaji dan upah bulanan meningkat 3.9 peratus kepada RM3,635 berbanding RM3,499 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kata DOSM, Selangor mencatatkan peratus sumbangan penerima gaji tertinggi iaitu 25.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja bergaji warganegara Malaysia, diikuti Johor (13.6 peratus) dan Sarawak (7.6 peratus).

“Dari segi purata gaji dan upah bulanan mengikut negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi sebanyak RM5,417, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM4,955) dan Selangor (RM4,258).

“Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing merekodkan RM3,912 dan RM3,887.

“Kesemua lima negeri dan wilayah berkenaan mencatatkan purata gaji dan upah bulanan melebihi paras nasional RM3,803,” katanya.

DOSM turut berkata, pertumbuhan positif purata dan penengah gaji dan upah bulanan pada 2025 mencerminkan perkembangan lebih baik dalam pasaran buruh serta pendapatan pekerja.

“Usaha berterusan untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh kemahiran dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi penting bagi menyokong pertumbuhan gaji benar yang mampan serta kesejahteraan pekerja.

“Langkah itu juga selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), khususnya dalam pembangunan tenaga buruh yang berdaya saing dan produktif.

“Malah ia hasil daripada pengukuhan reformasi pasaran buruh bagi menyokong pertumbuhan gaji mampan dan inklusif,” katanya DOSM dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here