Timbalan Presiden Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3RAM), Megat Muhammad Faris Megat Ismail menunjukan laporan yang dibuat terhadap laman sesawang www.daftarpejuang.com dan halaman Facebook Mukhriz Mahathir FC berkaitan penyebaran dan siaran logo berbentuk Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI, 15 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3RAM) menggesa pihak berkuasa menyiasat sebaran dan siaran logo berbentuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sedangkan ia masih belum berdaftar secara sah.

Timbalan Presidennya, Megat Muhammad Faris Megat Ismail mendakwa, bukan sahaja logo bahkan ia cuba menarik keahlian secara dalam talian walaupun pendaftarannya belum diluluskan oleh Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Kami meminta pihak polis dan RoS menyiasat sebaran dan siaran logo berbentuk pertubuhan Pejuang yang belum mendapat kelulusan RoS.

“Ini jelas bercanggah dan telah melanggar Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan bahawa mana-mana pihak yang menyiar atau menunjukkan apa-apa lambang yang tiada mendapat kelulusan Pendaftar adalah melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM3,000,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan sama, Megat Muhammad Faris mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyebar logo mirip Pejuang sebelum diluluskan pendaftarannya.

“Saya mahu pihak polis menyiasat sekiranya siaran dan sebaran lambang ‘Pejuang’ oleh laman sesawang www.daftarpejuang.com dan halaman Facebook Mukhriz Mahathir FC menyalahi undang-undang.

“Sekiranya ia salah di sisi undang-undang, saya mahu pihak polis mengambil tindakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast