KUALA LUMPUR – Norma baharu pasca Covid-19 bukan lagi perkara yang sukar untuk diamalkan dalam kehidupan masyarakat hari ini.
Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mencegah penularan pandemik yang ditakuti di seluruh dunia itu sudah menjadi perkara biasa.
Norma baharu itu sudah pun bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dan berterusan sehingga hari ini.
Rata-rata orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette menyifatkan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bukanlah satu perkara yang ‘suka-suka’ sebaliknya merupakan arahan yang wajib dipatuhi demi kebaikan bersama.
Seorang pemandu, R. Kumarasan, 35, mengakui tidak lagi kekok untuk mematuhi arahan pihak KKM kerana tahu ia adalah nasihat penting yang wajib diikuti.
Katanya, tidak ada alasan untuk ingkar arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib kerana menerusi garis panduan pematuhan itu jugalah Malaysia kini mampu mengawal penularan wabak yang disifatkan bahaya ekoran boleh meragut nyawa.
“Tengok sahajalah di luar negara, saban hari pertambahan kes positif Covid-19 sering meningkat. Walaupun di negara kita pun sama tapi setidak-tidaknya pertambahan jangkitan tidaklah begitu mendadak. Masih lagi boleh dikawal,” katanya.
Muhammad Aminullah Mohamad Kafli, 26, pula berpendapat, norma baharu hari ini telah menyebabkan rakyat bertambah berdisiplin.
Ini kerana katanya, mereka perlu mengamalkan cara hidup yang bersih seperti mencuci tangan malah perlu mengikut garis panduan seperti tidak berasak-asak di tempat awam, mengamalkan penjarakan fizikal dan banyak lagi syarat sebagaimana diketahui umum.
“Apa yang diajarkan kepada kita ini akan membuatkan masyarakat lebih berdedikasi dan sentiasa beringat tentang penjagaan diri serta pentingnya menjaga kebersihan.
“Kita hanya perlu patuh sahaja saranan kerajaan itu demi kebaikan dan kepentingan bersama,” ujarnya.
Bagi pesara tentera, Mohd Zulkarnain Yusof, 43, arahan kerajaan supaya rakyat mematuhi SOP Covid-19 mampu menjadi benteng kepada penularan wabak tersebut.
Ujarnya, cukuplah dengan jumlah kematian yang direkodkan setakat ini dan rakyat perlu sedar tentang bahaya pandemik itu.
“Mereka tidak boleh alpa dalam kehidupan kerana jika tidak mereka terpaksa menanggung akibat daripada kelalaian sendiri,” katanya.
Sementara itu, jurujual, Vanessa Chen, 30, berharap agar semua rakyat Malaysia dapat menerima norma baharu tanpa rasa terbeban.
Katanya, kedegilan segelintir masyarakat untuk mematuhi SOP yang ditekan pihak berkuasa pasti akan menyebabkan usaha memutuskan rantaian Covid-19 menjadi sukar sekaligus mengakibatkan lebih banyak korban nyawa.
“Saya minta semua orang ikut arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Patuhlah segala syarat-syarat itu supaya kita dengan segera dapat menjalani kehidupan seperti sediakala,” ujarnya.
Seorang lagi yang ditemui, Nadia Majid, 25, berkata, sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada hari ini tetap diraikan dengan meriah meskipun tanpa acara-acara perarakan seperti sambutan sebelum ini.
“Tidak semestinya kita menyambut hari yang penuh sejarah ini dengan aktiviti-aktiviti yang mendedahkan kepada jangkitan penyakit Covid-19.
“Apa yang penting kita jaga kita. Itu mesti dijadikan amalan dalam norma baharu ini agar hasrat untuk membebaskan negara daripada ancaman wabak tersebut akan berhasil,” ujarnya. – MalaysiaGazette