Seorang penduduk menaiki motosikal melintasi bendera parti Warisan Sabah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Kunak Jaya, Kunak, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2020.

KUNAK – ‘Kami tidak takut untuk turun mengundi pada 26 September depan.’

Itu tekad bulat majoriti pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak ketika ditanya samada mereka takut untuk mengundi  walaupun berada berhampiran dengan Kluster Laut – kawasan penularan Covid-19.

Namun itu tidak menghalang niat mereka untuk menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan negeri Sabah yang baharu.

Kamar Sudirman Ober. foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2020.

“Buat masa sekarang, kami tidak takut dan tidak risau sebab semua SOP (Prosedur Operasi Standard) diamalkan, jadi kami sedia nak mengundi. Kita diberikan satu surat tentang penjarakan fizikal, cuci tangan dan memakai mask.

“Kita sudah diberikan masa dari jam 8 hingga 10 pagi mesti turun mengundi, sebab jam lain ada orang lain akan turun mengundi,” kata Kamar Sudirman Ober, 50, ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Mohd Sharhazmie Sarai. foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2020.

Bagi Mohd Sharhazmie Sarail, 35, peningkatan kes positif Covid-19 dari hari ke hari agak membimbangkan namun semua itu boleh diatasi dengan mengamalkan SOP yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Memang agak merisaukan kerana kita sudah biasa hidup masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tiga bulan dan sudah biasa dengan norma hidup baharu. Jadi ini tidak ada masalah.

“Yang penting kita ikut saraan KKM dan negeri,” katanya.

Ahmad Syah Kamar Sudirman. foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2020.

Pengundi muda, Ahmad Syah Kamar Sudirman, 24, pula menasihatkan agar pengundi berhati-hati semasa proses pengundian.

Katanya, pemakaian pelitup muka dan penjarakan satu meter perlu sentiasa dipraktikkan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Kita rasa selamat juga sebab kita kena ikut SOP kena pakai mask akan selamatlah. Perlu ikut SOP dan hati-hati,” katanya lagi.

Pada 12 September lalu, KKM mengesahkan satu kluster baharu yang dikategorikan sebagai Kluster Laut dikenal pasti dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Kunak, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster (iaitu kes ke-9,859) adalah seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang dihantar balik ke negara asal iaitu Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.

Menurutnya, pada 5 September lalu, individu itu menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga melalui jalan tikus untuk melawat isterinya.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 16,461 pengundi DUN Kunak layak mengundi pada 26 September depan.

Salah satu DUN dalam Parlimen Silam itu menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Parti Cinta Sabah (PCS), Mohd Azman@Abdul Samad Bin Hj Asiman, Norazlina Arif (Warisan), Halid bin Harun (BN-UMNO), Utoh Joehann bin Angkie (USNO), Hasbi bin Sariat daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dan Nur Aini binti Abdul Rahman daripada Parti Liberal Demokratik (LDP). – MalaysiaGazette