Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Petronas telah melunaskan Cukai Jualan Negeri Sarawak bagi tahun 2019.

Pembayaran penuh dan akhir untuk cukai jualan tahun lalu itu bukti komitmen Petronas mencapai penyelesaian komersial, kata firma itu dalam kenyataan di sini,

Menurut Petronas, pembayaran untuk tahun 2020 pula akan dibuat berdasarkan penilaian oleh Pengawal Cukai Jualan Negeri Sarawak.

Jelasnya, pembayaran ini adalah perkembangan signifikan berikutan penarikan rayuan Petronas terhadap keputusan semakan kehakiman dan juga penarikan balik tindakan sivil Sarawak terhadap Cukai Jualan Sarawak.

“Petronas komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkukuhkan sektor minyak dan gas Sarawak ke arah mewujudkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang stabil dan kondusif untuk pertumbuhan masa depan,” kata syarikat minyak itu lagi.

Sementara itu, Borneo Post melaporkan Petronas dan anak-anak syarikatnya menyerahkan cukai jualan berjumlah RM2,956,671,407.36 kepada kerajaan negeri itu untuk cukai jualan produk-produk berkaitan petroleum.

”Petronas dan anak-anak syarikatnya hari ini telah menyelesaikan pembayaran cukai jualan ke atas produk petroleum untuk tahun 2019, sebagaimana yang dinilai oleh Pengawal Cukai Jualan Negeri mengikut Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak, 1998,” kata Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast