Calon Warisan DUN Kunak, Norazlina Arif bercakap kepada media beramah mesra bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di Kampung Kunak tiga, Kunak, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2020.

KUNAK – Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Norazlina Arif mengakui pihaknya terpaksa melalui pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk melakukan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Malah katanya, dengan adanya Kluster Laut di kawasan tersebut, ia meningkatkan lagi pelaksanaan SOP namun akur dengan norma baharu itu.

“Kluster Laut (yang ada di Kunak) sudah tentu melahirkan kebimbangan, bukan hanya berkisar kepada kurangnya peratusan pengundi turun tetapi juga di dalam masa kita kempen sekarang terlalu banyak SOP yang kita perlu hadapi.

“Ini sudah tentu normal baru bagi kita di mana tidak boleh bersalaman kadang-kadang dengan orang tua untuk tidak berpelukan dan berjuang dengan penuh emosi.

“Sangat perlu untuk memberikan kefahaman kepada seluruh rakyat sebab bagi kita kempen bukan tentang menerangkan hala tuju perjuangan Warisan tetapi juga untuk memberi ilmu kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya menjaga kesihatan dan mematuhi SOP yang disediakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon Warisan DUN Kunak, Norazlina Arif bercakap kepada media selepas beramah mesra bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di Kampung Kunak tiga, Kunak, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2020.

Jelasnya lagi, SOP seperti mewajibkan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter dan menghadkan jumlah hadirin pada satu-satu acara perlu diikuti bagi memastikan kempen di PRN ini dapat diteruskan.

Di DUN Kunak, Norazlina ditentang lima lagi calon iaitu Parti Cinta Sabah (PCS), Mohd Azman@Abdul Samad Asiman, Halid Harun (BN-UMNO), Utoh Joehann Angkie (USNO), Hasbi Sariat (PGRS) dan Nur Aini Abdul Rahman (LDP).

Biarpun berdepan segala SOP itu, Azalina yang juga anak jati Kunak berkata, beliau telah menjalankan lebih 50 program bertemu pengundi di Kunak.

“Hari ini saya ada ada baki beberapa tempat lagi dan kita nak teruskan momentum dan pastikan kita punya peluang sehingga hari mengundi,” katanya.

Norazlina adalah penyandang DUN KUnak apabila memenangi kerusi itu dengan 4,898 undi manakala calon BN, Datuk Nilwan Kabang memperoleh 4,630 undi diikuti calon Pas, Kasman Karate (492) dan calon HR Sahing Taking (141). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast