Tan Sri Musa Aman. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

TUARAN – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman akan menjelajah seluruh negeri bagi membantu kempen calon-calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Musa berkata, beliau akan turun berkempen untuk memastikan kemenangan cemerlang berpihak kepada semua calon GRS dalam pilihan raya berkenaan.

“Sebenarnya, saya tidak mahu datang berkempen turun ke bawah… Biarlah saya bersara sekejap. Namun, memikirkan… ingatkan kawan-kawan, sahabat-sahabat baik sebagai adik-adik saya, maka saya turun ke bawah dan menolong seberapa yang boleh agar mereka ini, insya-Allah akan menang dalam pilihan raya ini.

“Saya akan, kalau boleh… sebanyak (yang) boleh saya akan menjelajah untuk memberi ingatan dan kesedaran kepada rakyat, jangan sekali-kali terpedaya, jangan sekali-kali terbohong (tertipu),” katanya ketika berucap pada program mesra rakyat bersama calon DUN Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Daerah Mengundi Indai, Kampung Indai, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling.

Musa turut memuji keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap masalah rakyat dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi yang jelas banyak membantu meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi cabaran susulan penularan COVID-19.

“Saya punya peribahasa, ada ubi ada batas, ada budi boleh dibalas. Tan Sri Muhyiddin seorang perdana menteri berbudi. Kita balas budi beliau… Bukan susah, bukan payah kata orang kampung… Undi saja… Macam di Sulaman ini, undi calon nombor tiga (Hajiji)… Selamatlah kita. Begitu juga saya katakan di Kiulu, di Tamparuli,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Sulaman perlu memberi peluang kepada Hajiji untuk terus menjadi wakil rakyat di kawasan itu kerana sememangnya Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu seorang yang bekerja keras, baik hati, ikhlas, dedikasi selain sentiasa prihatin akan keperluan penduduk di situ.

Pada program itu, Musa turut ‘mengubat kerinduan’ para penduduk dengan menyampaikan beberapa rangkap pantun yang sememangnya menjadi ‘trademark’ beliau setiap kali berucap ketika menerajui kerajaan negeri sebelum ini.

Selepas menghadiri program itu, Musa kemudian berkempen untuk calon GRS di DUN Pantai Dalit. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast