Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Tanjung Aru, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU –  Pengerusi Lembaga Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merayu rakyat Sabah yang tinggal di luar negeri itu supaya balik mengundi pada 26 September ini.

Katanya, setiap pengundi perlu menunaikan tanggungjawab mereka memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menyaksikan pertandingan sengit yang disertai pelbagai parti.

“Kita mahu tiap-tiap pengundi luar balik sebab banyak sangat penjuru ini mungkin adalah satu ciri-ciri orang Sabah tapi pilihan raya, setiap undi berharga,” katanya ketika sidang media hari ini.

Tiga hari berkempen di kawasan Kota Kinabalu, Wan Azizah mendakwa mood pengundi Sabah masih mahu mengekalkan kerajaan yang dipimpin Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

“Apabila kita mengenengahkan Sabah untuk orang Sabah ini salah satu rakyat mahu. Saya tengok orang Sabah tahu bahawa PKR dan Warisan Plus memang Sabah.

“Mereka nakkan satu kerajaan yang kuat dan kukuh untuk membangunkan Sabah,” ujarnya.

Terdahulu PKR mewujudkan tabung yang dikhususkan untuk membantu pengundi luar balik mengundi pada 26 September ini.

PKR berkata, seramai 5,966 pengundi Sabah berada di luar negeri itu.

Tabung khusus itu akan digunakan untuk membeli tiket penerbangan dan setakat ini ia telah mengumpul RM35,000 yang boleh membawa balik 101 pengundi.

Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, PKR, DAP, UPKO dan Amanah bertanding di 46 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah kali ini. – MalaysiaGazette