Husam Musa

KUALA LUMPUR – Datuk Husam Musa sepatutnya dilantik sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) kerana pemikiran beliau jauh lebih kehadapan berbanding pemimpin-pemimpin tertinggi yang lain.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff tidak menafikan jawatan Presiden Amanah dipilih dalam kalangan mereka yang menang dalam Jawatankuasa Pimpinan Nasional dan Husam pula tidak bertanding di dalam pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang lalu.

”Tetapi perlembagaan parti ini adalah buatan manusia yang bukan tidak boleh diubah jika ada kemahuan,” katanya.

Kamarul mengulas ucapan Husam dalam Mesyuarat Tahunan Amanah Kubang Kerian yang menunjukkan bahawa pemikiran beliau adalah jauh lebih terkehadapan berbanding pemimpin-pemimpin tertinggi Amanah yang lain melalui beberapa pendedahan ke atas apa yang telah dan yang patut berlaku.

Antara perkara yang telah didedahkan oleh Husam mengenai tindakannya yang memaklumkan kepada pimpinan tertinggi Amanah pada bulan April 2019 dan pada bulan Julai 2019 bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan tumbang tetapi langsung tidak diambil berat oleh pimpinan tertinggi parti sehinggalah kerajaan itu benar-benar tumbang.

”Saya telah memberikan pandangan saya kepada pimpinan tertinggi Amanah bahawa Kerajaan PH akan tumbang seawal bulan April 2019. Boleh tanyalah pimpinan, saya tak boleh namakan dia pada pagi ini.

”Bulan Julai 2019, sekali lagi saya jumpa merekan saya nyatakan pandangan saya bahawa kerajaan tuan-tuan akan tumbang, tolonglah sebagai menteri tuan-tuan buat sesuatu yang rakyat suka macam tindakan Erdogan di Turki dan jangan tersalah langkah macam Morsi di Mesir.

”Bulan Julai 2019, kali yang kedua. Kemudian kerajaan tumbang sungguh. Saya beritahu bulan April 2019 lagi, kerajaan tumbang bulan Mac 2020, hampir setahun, kalau nak buat persiapan sempat. Tapi pada masa itu orang tak percaya pandangan saya. Orang anggap ini mustahil,” ujar Husam dalam mesyuarat tersebut.

Kamarul berkata: ”Kita tunggu dan lihat sahaja komen pimpinan tertinggi Amanah mengenainya, jika ada”. – MalaysiaGazette