Keadaan sebuah kereta yang dihempap konkrit ketika melalui projek pembinaan lebuh raya SUKE berhampiran Terminal Bas Bersepadu.

KUALA LUMPUR- Kementerian Wilayah Persekutuan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi berkaitan menyemak semula peraturan di tapak pembinaan bagi memperketatkan aspek keselamatan melibatkan orang ramai.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia susulan kejadian kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), terjatuh dan menghempap kereta yang sedang dipandu seorang wanita di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) , petang semalam.

Annuar berkata, semakan semula itu termasuk membabitkan aspek kadar denda dan hukuman lebih berat bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Saya mahu DBKL dan agensi berwajib memperketatkan lagi aspek keselamatan di tapak pembinaan dan perkara berkaitan keselamatan orang awam.

“Semak semula peraturan termasuk kadar denda dan hukuman lebih berat,” katanya menerusi  hantaran di Twitter rasminya, hari ini.

Semalam, media melaporkan insiden kepingan konkrit bersaiz satu meter persegi daripada kerja-kerja pembinaan SUKE, terjatuh menghempap kereta jenis Proton Saga BLM yang sedang dipandu seorang wanita di MRR2, dalam kejadian kira-kira 5.45 petang.

Bagaimanapun, mangsa berusia 25 tahun itu diselamatkan orang awam dan hanya cedera di tangan kirinya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.