KUALA LUMPUR – Parti Warisan Plus yang diketuai Datuk Seri Shafie Apdal dilihat mempunyai peluang yang cerah dalam Pilihan Raya Negeri itu.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Hatta Ramli berkata, pihak atau parti lain yang bersaing hanyalah sekadar menduga-duga atau mencuba nasib masing-masing.
Bagaimanapun beliau mengakui parti baharu, Parti Cinta Sabah (PCS) di bawah pimpinan bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman sebagai pesaing serius walaupun tidak diambil kisah oleh semua parti yang bertanding.
Disebabkan itu, PRN Sabah dilihat sebagai pertembungan antara Warisan Plus dengan gabungan rakyat Sabah (GRS).
“Jika dilihat paling besar adalah PCS tapi setakat ini tidak seorang pun ambil serius parti berkenaan walaupun bertanding di banyak kerusi.
“Ia juga tidak memberikan kelebihan apatah lagi ia bertembung sesama sendiri dalam kelompok (gabungan) sama,” katanya selepas Perasmian Konvensyen Sayap Pemuda dan Awan Amanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara.
Sebaliknya, Hatta menyifatkan pembahagian yang dibuat oleh Datuk Seri Shafie Apdal (Presiden Warisan Plus) cukup baik dan teratur tanpa ‘overlap’ langsung.
Tambah beliau, perkara berkenaan sudah diperjelaskan sebaik-baiknya oleh Warisan dan Pakatan Harapan yang bertanding di bawah tiket Warisan Plus kepada pengundi Sabah dan mereka menyedari hakikat itu.
Hatta menjangkakan Shafie menang dalam pilihan raya ini jika tidak melakukan sebarang kesilapan semasa berkempen.
”Sekiranya dia tidak melakukan apa-apa kesilapan semasa berkempen, maka semuanya akan berakhir dengan baik (memihak kem Shafie),” katanya.- MalaysiaGazette