PUTRAJAYA – Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat ketirisan dan ketidakcekapan pengurusan industri sawit yang didakwa melibatkan ‘orang dalam’ sejak beberapa tahun lalu.
Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd Firdaus Abdullah mendakwa, akibat perbuatan ‘orang dalam’ yang didakwa bersengkongkol dengan sindiket sehingga menyebabkan berlaku kerugian sehingga jutaan ringgit ekoran minyak mentah yang sepatutnya dijual kepada kilang dicuri untuk dijual pula ke pasaran gelap.
Katanya, sindiket terbabit menjalankan aktiviti secara bermaharajalela tanpa memikirkan nasib pekebun kecil yang teraniaya akibat perbuatan mereka.
Malah, pekebun kecil kelapa sawit terpaksa berdepan dengan pendapatan yang tidak menentu semuanya kerana gara-gara masalah penjualan tandan basah kepada pengilang pada harga yang tidak munsabah, katanya.
“Dianggarkan industri minyak sawit mengalami kerugian hampir RM700 juta hingga 1 bilion setahun.
“Ini berlaku kerana sindiket membeli secara haram yang dilakukan di tempat-tempat strategik dan bergerak dengan terancang serta dilindungi oleh pihak-pihak penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum ke Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra hari ini.
Mohd Firdaus berkata, melihatkan keadaan yang semakin meruncing YPNM mengambil masa selama dua tahun untuk menyiasat isu ketirisan tersebut setelah menerima aduan daripada pekebun kecil dan peneroka yang mendakwa menerima bayaran tidak setimpal dengan jumlah hasil sawit yang dijual oleh mereka.
Beliau mendakwa, laporan pernah dibuat kepada sebuah agensi penguat kuasa untuk siasatan namun ia seolah-olah tidak diendahkan.
“Sebab itu hari ini kita datang terus ke pejabat Perdana Menteri meminta agar pentadbiran tertinggi negara dapat menubuhkan terus satu jawatankuasa bagi menyiasat perkara ini.
“Pekebun kecil sudah tidak lagi tertanggung dengan situasi yang dihadapi dan kerajaan perlu mendengar rintihan mereka dengan mengambil tindakan segera agar jerung-jerung yang terlibat dihadapkan kemuka pengadilan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya mencadangkan agar jawatakuasa khas yang akan ditubuhkan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi Utama dan pihak-pihak tertentu yang difikirkan sesuai dan siasatan perlu dibuat hingga ke akar umbi.
Terdahulu, memorandum yang dihantar Mohd Firdaus diterima oleh Pegawai Khas Perdana Menteri, Azril Mohd Amin.
Menurut Mohd Firdaus, pegawai khas itu memaklumkan memorandum berkenaan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette