Hazry Saimin (tengah) menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Angkatan Pemuda Pemudi Berjasa (Angkasa) menyerahkan memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pelancaran portal rasmi SPRM berbahasa Mandarin.

Mereka melihat ia bercanggah dengan Perlembagaan dan semangat cintakan bahasa Melayu.

Exco Angkasa, Hazry Saimin menyerahkan memorandum berkenaan kepada pegawai SPRM untuk disampaikan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, kira-kira jam 9.30 pagi ini.

Hazry Saimin berkata, Angkasa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini kerana imej agensi kerajaan perlu selari dengan perlembagaan Malaysia yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa utama bagi institusi dan agensi kerajaan.

Bahasa selain bahasa kebangsaan sepatutnya tidak diberikan layanan supaya budaya tidak memahami bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia berjaya dihapuskan.

“Kita beri masa dua minggu kepada SPRM untuk menyemak kembali tindakan mereka dan mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Jika dalam tempoh tersebut, mereka gagal untuk bertindak. Kita akan sekali lagi turun untuk menghantar memorandum yang lebih tegas, katanya. – MalaysiaGazette