KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa peristiwa Lahad Datu hanya sandiwara disifatkan biadab.
Bekas menteri dan pemimpin Parti Warisan itu juga dianggap tidak memahami pengorbanan anggota keselamatan dalam memelihara kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, komen pemimpin itu semasa berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang tular menerusi video dalam media sosial juga satu penghinaan khususnya kepada 10 keluarga anggota yang terkorban dalam peristiwa itu.
“Seluruh pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui akan kebenaran peristiwa itu dan tidak ada mana-mana pihak
mempertikaikan secara terbuka berkaitan kebenaran peristiwa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan Mohamaddin semasa berkempen di Kampung Warisan itu menerima pelbagai kecaman sehingga laporan polis mendesak tindakan ke atas bekas menteri Kabinet Pakatan Harapan itu.
Ismail Sabri berkata, dalam suasana negara baru sahaja menyambut Hari ATM yang ke-87 pada 16 September lalu, tuduhan yang dilemparkan Mohammadin itu mencerminkan Ahli Parlimen Lahad Datu itu memandang rendah pengorbanan pasukan keselamatan negara.
“Justeru itu, saya ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyentuh isu-isu sensitif yang boleh membangkitkan kemarahan dan rasa tidak selesa mana-mana pihak khususnya perkara yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,” tegas Ismail Sabri.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: