Abdul Jalil Ghani

PAPAR – Tindak tanduk pemimpin Parti Warisan didakwa begitu terdesak dalam memastikan kuasa terus menjadi milik mereka sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang tidak kena tempatnya.

Malah apa yang lebih mengecewakan apabila calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama dari Warisan, Datuk Mohamaddin Ketapi didakwa mengeluarkan kenyataan yang menghina anggota keselamatan dalam insiden Lahad Datu.

Dakwa Mohamaddin ketika sesi ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, anggota keselamatan yang ‘berperang’ ketika pada tahun 2013 bukan sahaja sekadar sandiwara politik sebaliknya golongan itu hanya berlawan dengan ayam dan anjing sahaja.

Selepas mendapat kecaman pelbagai pihak akhirnya seperti biasa, bekas Menteri Pelancongan itu membuat pusingan u dan mendakwa dirinya tidak pernah berniat melukakan hati pasukan keselamatan sebaliknya menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) sahaja.

Malah bekas menteri itu mendakwa kenyataannya diputar belit.

Mengulas perkara itu, Timbalan Ketua Penerangan Parti Cinta Malaysia (PCS), Abdul Jalil Ghani mengakui dirinya marah, kecewa dan terkejut dengan tindakan Mohamaddin.

“Pelik juga bukan? Jika tidak berniat untuk merendah-rendahkan taraf anggota-anggota keselamatan yang bergadai nyawa supaya kita semua boleh tidur dengan tenang dan hidup bahagia dengan keluarga dalam keadaan selamat, jadi apa niatnya? 

“Ada bukti semua kata-kata tentang sandiwara kononnya untuk Pilihan Raya Umum ke-13, kononnya pencerobohan itu tidak berlaku sebaliknya anggota kita yang terkorban itu sebenarnya sekadar berperang dengan ayam dan anjing, jika itu tidak menghina dengan cara paling jijik jadi apa namanya itu? Tolonglah jawab.

“Bila masanya pula Mohamaddin Ketapi ini memberi gambaran betapa sukarnya anggota kita berjuang bermati-matian untuk menjaga kedaulatan negara? Yang kamu cakap adalah berperang dengan ayam dan anjing.

“Jadi jangan putar belit, jangan fikir rakyat kita ini sudah buta dan pekak. Sampai bila mahu guna taktik jijik ini?

“Sebagai seorang bekas menteri, wakil rakyat di Parlimen dan kini bertanding untuk jawatan ADUN, cubalah berikan contoh seorang pemimpin berkaliber yang ada kelas. Jangan cakap sesuka hati kemudian tarik balik tuding jari dan sebagainya.

“Apa yang kamu cakap dan ‘gelak-gelak’ ketawa pada ceramah itu, video klip yang sudah ditonton ratusan ribu mungkin jutaan rakyat Malaysia terutama di Sabah dan kaum keluarga yang sudah terkorban itu, jadi sudah-sudahlah Warisan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya tak pernah hina anggota keselamatan – Mohamaddin

Sambung Abdul Jalil, seandainya tragedi di Tanduo dianggap sandiwara maka bos Mohamaddin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga sebahagian daripada sandiwara tersebut.

Jelasnya, Mohamadin itu lupa bahawa Mohd Shafie adalah Naib Presiden UMNO ketika tragedi itu berlaku pada tahun 2013 itu.

Terang lagi bersuluh malah seperti meludah ke langit kena muka sendiri, jelas Abdul Jalil, Mohamaddin sudah terlupa sebelum PRU-13, kerajaan terdahulu adalah BN.

“Jika itu adalah sandiwara itu bermakna yang turut bersengkongkol dalamnya adalah Mohd Shafie yang juga kini Presiden Warisan juga sedang mengangkat diri sebagai Ketua Menteri jika menang PRN nanti dan Mohamaddin pula dari Warisan.

“Jadi apa maksudkannya itu? Kamu hendak tolak presiden kamu yang terlibat dengan kononnya sandiwara perang ayam anjing itukah? Seharusnya Mohamaddin keluar sahaja dari Warisan bukan bercakap atas pentas politik demi undi.

“Jika kamu tidak keluar Warisan, jika kamu masih mengaku Mohd Shafie itu adalah Presiden Warisan yang layak jadi Ketua Menteri, jika kamu tuduh kerajaan lama tapi yang bercakap macam-macam adalah pemimpin Warisan ini, jadi seharusnya rakyat Sabah termasuk anggota keselamatan ini fikir banyak kali sebelum undi mereka.

“Demi undi, mereka akan cakap macam-macam. Mereka tuduh macam-macam kemudian tarik balik janji dapat undi. Bila menang kelak, mereka buat balik.

“Perasaan tidak penting, kepentingan rakyat tidak penting. Penting hanya undi jadi fikirkanlah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Jalil senada dengan Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman yang menyifatkan kenyataan Mohamadin keterlaluan hingga menguris perasaan waris mangsa anggota keselamatan yang terkorban mempertahankan kedaulatan Sabah.

“Jelas tampak Mohamadin tidak sensitif langsung dengan peristiwa hitam buat kita sebagai rakyat Sabah yang seharusnya beliau tidak bangkitkan namun malangnya tragedi ini beliau anggap sandiwara,” jelasnya.

Pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, sekali gus mencetuskan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia.

Insiden itu berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan dan 6 orang awam dan pengganas yang hidup ditangkap atau menyerah diri dengan konflik itu diisytihar tamat pada 10 April 2013. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kenyataan Mohamaddin singgung hati keluarga anggota yang terkorban – ATM

Mohamaddin biadab, hina pasukan keselamatan negara – Ismail Sabri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast