Anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden serangan Lahad Datu Februari 2013.

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Menteri Pelancongan, Mohamaddin Ketapi bahawa pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  hanya membuat ‘serangan terhadap ayam dan anjing’ dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu tujuh tahun lalu amat tidak bertanggungjawab.

Malah, ATM dalam kenyataan hari ini berkata, tuduhan seumpama itu yang turut membabitkan pasukan keselamatan lain telah menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara ketika itu.

“Ini merupakan suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali di mana kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban baik ATM mahupun di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata ATM.

ATM menegaskan bahawa pihaknya berperanan sebagai benteng pertahanan negara di mana organisasi ini sentiasa bersedia pada sebilang masa dalam melaksanakan tugas terutamanya dalam mendepani pelbagai ancaman.

Artikel berkaitan: PN desak Mohamaddin tarik balik kenyataan dan minta maaf – Azmin

Walau apa pun halangan atau cabaran yang mendatang, tambah ATM, aspek pertahanan negara sentiasa didahulukan bagi mengekalkan kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.

Menurut markas berkenaan, ATM yang kini mencapai usia 87 tahun pada 16 Sep lalu, telah menyaksikan banyak darah, pengorbanan dan keringat mereka terdahulu yang dicurahkan demi memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan buat rakyat Malaysia pada hari ini sentiasa terpelihara.

“Kenikmatan yang tersedia ini tidak datang bergolek, sebaliknya ia telah meriwayatkan satu perjuangan yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi tercinta ini.

“Adalah diingatkan, agar rakyat Malaysia tidak sesekali mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kemudaratan terhadap keharmonian negara.

“Peranan rakyat Malaysia seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia merupakan tanggungjawab bersama.

“ATM dengan sokongan dan keprihatinan kerajaan serta rakyat akan terus dipersiapkan untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan.

“Keupayaan ATM pada masa kini bukan sekadar berupaya mempertahankan kedaulatan negara, malah ATM juga berupaya untuk menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang dinaungi negara,” tegas ATM lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.