Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) mengecam sekeras-kerasnya ucapan Datuk Mohamaddin Ketapi yang menghina pengorbanan pasukan keselamatan negara yang mempertahankan kedaulatan tanah air ketika Sabah diserang pengganas pada tahun 2013.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemimpin utama Parti Warisan Sabah (Warisan) juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama diumpamakan sebagai pengkhianat.

“Peristiwa hitam di Tanduo, Lahad Datu tersebut telah mengakibatkan pertempuran di antara pasukan keselamatan negara dengan penceroboh militan dari Filipina sehingga mengorbankan 12 orang anggota keselamatan dan orang awam serta mencederakan ramai anggota yang lain.

“Menyifatkan pencerobohan bersenjata ke atas wilayah negara sebagai satu ‘sandiwara’, ucapan Mohamaddin Ketapi adalah satu pembohongan dan hasutan untuk memecah belahkan perpaduan dan kesatuan rakyat.

“Ucapan beliau turut mencerminkan betapa Warisan tidak komited untuk mempertahankan kedaulatan negeri dan keselamatan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PN, menurut Mohamed Azmin bertegas bahawa perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan keutuhan wilayah merupakan tanggungjawab suci setiap anak watan yang cintakan kesejahteraan dan kemakmuran.

Pada masa yang sama, ucapan Mohamaddin Ketapi juga telah mempersenda pasukan keselamatan negara serta menghina jasa dan pengorbanan setiap anggota yang terkorban.

“Saya yakin, keluarga besar pasukan keselamatan negara khususnya mereka yang terkorban dalam pertempuran tersebut serta seluruh rakyat Malaysia yang patriotik tidak boleh menerima keceluparan beliau.

“PN mendesak Mohamaddin Ketapi menarik balik kata-kata penghinaan tersebut dan segera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dalam menjalankan tanggungjawab suci mempertahankan tanah air.

“Saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk menolak sesiapa sahaja yang cuba mempermain-mainkan kedaulatan dan keselamatan untuk tujuan politik sempit,” katanya yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu itu.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.