Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (dua kiri) memakaikan pelitup muka kepada pelajar sekolah, Nur Kyra Alisya Mohd Shahdi (kiri) sambil diperhatikan Guru Besar SK Ampang, Nazirah Mohd Nordin (kanan) pada Penyerahan Sumbangan Pelitup Muka Fabrik Kepada Pelajar-Pelajar Sekolah Kawasan Parlimen Ampang di Sekolah Kebangsaan Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji untuk membangunkan semula flat-flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sudah sudah usang dan berusia lebih tiga dekad di Selangor.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beberapa rumah PPR lama yang sudah berusia 30 hingga 40 tahun telah dikenalpasti untuk dibangunkan semula memandangkan ia tidak lagi sesuai dengan perkembangan kehidupan di kawasan bandar.

“Masalah kerosakan bukan hanya berlaku atau dilaporkan di rumah Projek Perumahan 1Malaysia tetapi juga di perumahan lain.

“Jadi, kita sedang melihat dan mengkaji rumah-rumah berusia 30 hingga 40 tahun terutama di Selangor dan berbincang dengan kerajaan negeri utuk membuat pembangunan semula,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Ampang hari ini.

Tambah Zuraida, kerja-kerja membaiki kerosakan seperti bumbung atau lif tidak berfungsi menelan kos yang mahal.

“Jadi adalah lebih baik kita buat yang baharu dan kementerian sedang dalam perancangan untuk menyusun jadual model itu. Ia bukan hanya melibatkan kerajaan negeri dan KPKT tetapi juga pihak swasta dan pihak penghuni-penghuni berkenaan.

“Kita ada beberapa rumah PPR yang usang dan buruk di Selangor dikenalpasti apabila saya sendiri sudah turun meninjau PPR Columbia Keramat dan Pandan yang  usianya lebih 30 hingga 40 tahun dan tidak sesuai dengan perkembangan perbandaran sedia ada.

“Kita sedang dalam proses perancangan itu, insya Allah segalanya diharap mengikut perancangan demi memajukan komuniti kita di bandar lebih bermanfaat dan sejahtera,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast