TAWAU – Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengesahkan seorang pemimpin UMNO dari Semenanjung dikuarantin di sebuah hospital di Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, Bung Mokhtar berkata, pemimpin itu masih belum positif Covid-19.
“Saya mendapat maklumat tetapi belum ada pengesahan. Dia cuma disyaki dan belum disahkan positif.
“Belum positif dan sudah dikuarantinkan selama 14 hari,” katanya kepada media selepas menghadiri ceramah dan majlis perjumpaan pemimpin utama BN itu bersama calon-calon BN dan jentera BN DUN Balung, Tanjung Batu dan Kukusan, sebentar tadi.
Semalam, dilaporkan pemimpin itu positif Covid-19 selepas berkempen di kawasan Parlimen Sipitang.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu kini sedang menjalani kuarantin wajib bagi mendapatkan rawatan susulan.
Semua kontak rapat pemimpin UMNO itu juga telah diminta untuk melakukan ujian swab bagi mengelakkan sebarang penularan.
Dalam perkembangan lain, Bung Mokhtar turut memberikan komen mengenai kenyataan Parti Bersatu Sabah (PBS) berhubung pencalonan di DUN Melalap.
Katanya, pertembungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) di kerusi berkenaan dilihat tidak akan memecahkan undi kedua-dua parti itu.
“Kita melihat undi tidak akan pecah sebab UMNO ada dia punya kubu kuat sendiri, jadi kita memastikan pengundi UMNO tidak akan lari dan undi BN,” katanya lagi.
Hari ini, Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Malleh berkata, UMNO tidak seharusnya meletakkan calon menentangnya di kerusi Melalap.
UMNO memutuskan untuk bertanding di Melalap pada saat akhir, sama seperti PBS di 7 kerusi lain, yang mengakibatkan PBS, BN, dan Perikatan Nasional bertembung sesama sendiri di 17 kerusi. – MalaysiaGazette