Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) berbual bersama peserta ketika hadir pada Sesi Libat Urus Penggiat Industri Pembinaan di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Industri pembinaan mengalami kerugian sebanyak RM11.6 billion susulan daripada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dan kedua pada 18 Mac hingga 14 April lalu.

Bagaimanapun, nilai kerugian itu menurun kepada RM6.9 bilion setelah pembukaan 13 sub sektor industri pembinaan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, beberapa impak ketara meliputi isu kewangan, penyampaian projek dan kekangan tenaga kerja juga telah dikenal pasti.

“Antaranya adalah kehilangan penggajian dan upah pekerja binaan dengan kadar 30 peratus yang berjumlah sebanyak RM3.3 billion dan kemerosotan penggunaan bahan binaan sebanyak 42 pertus yang bernilai sebanyak RM4.6 bilion,” kata menteri kanan itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus penggiat industri bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed di sini hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menyatakan perkara sama apabila memberitahu, sebanyak 29 peratus kerugian yang direkodkan itu disebabkan pengangguran dalam kalangan pekerja industri kerana projek pembinaan terpaksa dihentikan.

Apabila projek pembinaan dihentikan seketika, pembekal mesin tidak dapat menyewa atau menjual mesin mereka, kilang tidak dapat membuat bahan binaan dan tiada kemasukan bahan import, kata Presidennya, Foo Chek Lee.

Akibatnya, industri pembinaan mengalami kerugian sehingga RM11.6 bilion sebulan.

Fadillah berkata, hasil lawatan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi tempoh 20 April sehingga 20 September ini kepada 7,590 tapak bina mendapati, sebanyak 149 projek pembinaan masih belum beroperasi.

Ujarnya, sebanyak 45 daripada 149 tapak bina tersebut tidak dapat beroperasi kerana faktor kewangan.

Tambah beliau, pihaknya dimaklumkan kurangnya kemudahan dan tiada kelonggaran syarat atau pertimbangan khusus diberikan oleh pihak bank kepada syarikat pembinaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menyebabkan industri berdepan masalah.

“Kementerian Kerja Raya sangat prihatin dengan situasi dan cabaran yang dihadapi oleh penggiat industri pembinaan pada masa ini.

“Justeru pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu pemulihan sektor pembinaan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19,” ujarnya.

Dalam pada itu Fadillah memaklumkan, kementeriannya kini sedang merangka inisiatif dan program-program berasaskan sektor pembinaan digital untuk menyokong perancangam pertumbuhan ekonomi negara.

“Antara inisiatif yang dibangunkan oleh Kementerian Kerja Raya adalah Sistem Binaan Berindustri (IBS), Model Maklumat Bangunan (BIM), inovasi bahan binaan, dan pembangunan fokus baharu industri iaitu senggara infrastruktur.

“Ini dilihat akan memberi ruang untuk memperkukuh penyampaian pelaksanaan projek, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah, mengoptimum sumber kewangan dan bukan kewangan agar selari dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” jelasnya. – MalaysiaGazette