Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

PUTATAN – Sebagai seorang pemimpin yang pernah menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal mempunyai keistimewaan membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan Sabah.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada waktu itu memberikan kepercayaan kepada Shafie mengagihkan peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak.

“Siapa yang jadi Menteri Pembangunan Luar Bandar, dia sebenarnya sebagai raja, boleh membelanjakan wang kerana Pembangunan Luar Bandar sebahagian besar khususnya di Sabah adalah luar bandar.

“Bermakna kerajaan persekutuan telah memberikan kepercayaan kepada Shafie sebagai Menteri Luar Bandar untuk membelanjakan peruntukan yang besar yang diberikan.

“Dan saya tahu, tujuan Datuk (Seri) Najib melantik beliau sebagai Menteri Luar Bandar adalah kerana untuk membangun negeri Sabah yang peratusan tinggi adalah luar bandar.

“Apabila ditanya macam mana nak belanja, bahagikan pembangunan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Najib Razak kata, terpulang kepada kamu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Program Bicara Santai Bersama, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan calon BN Tanjung Aru, Mohd Reduan Aklee di Markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Aru Timur.

Justeru adalah tidak wajar untuk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menjadi kerajaan persekutuan apabila Sabah tidak menerima pembangunan yang sepatutnya kerana ia telah diamanahkan kepada Ahli Parlimen Semporna itu, ujarnya.

“Shafie, kamu dulu Ahli Parlimen BN. Kamu dulu Timbalan Menteri Pertahanan BN dan terakhir sekali menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar BN.

“Sekarang kamu pertikaikan tidak ada apa keuntungan yang Sabah dapat daripada BN. Saya syorkan kepada Shafie, kamu bangun pagi pergi bilik air, tengok cermin kamu tanya, apa BN telah bikin untuk Sabah, tanya diri sendiri kamu menteri.

“Menteri Pembangunan Luar Bandar jawatan ini adalah jawatan yang dicemburui oleh ahli Jemaah Menteri kerana inilah kementerian yang terima peruntukan paling besar sekali,” tambah Nazri.

Shafie menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2009 hingga 2015.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.