Ismail Sabri menafikan berlaku Lockdown selama empat hari di tiga kampung di Semporna, Sabah.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan berlaku perintah berkurung (lockdown) di tiga kampung di Semporna, Sabah sebagaimana tular di media sosial, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap cerita itu sebagai berita palsu yang sengaja dihebah untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Kata beliau, maklumat berlaku lockdown di Kampung Air, Kampyng Bangau-Bangau dan Kampung Simunul di Semporna adalah tidak benar.

“Maklumat berlaku perintah berkurung iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tiga kampung ini tidak benar sama sekali.

“Saya tidak pernah pun umumkannya. Yang akan umum (menyatakan berlaku pelaksanaan) PKP dan SOP adalah saya melalui sidang media seminggu sekali.

“Kalau tidak ada sidang media (dari saya), perkara itu (lockdown) tidak betul. Biasanya PKP kita buat (laksanakan) 14 hari, bukan empat hari. Ini berita palsu,” katanya pada sidang media khas mengenai Covid-19, hari ini.

Hari ini, tular satu mesej di aplikasi WhatsApp yang menyatakan tiga kampung di Semporna telah dikenakan perintah berkurung.

Ismail Sabri Yaakob

Dalam mesej berkenaan menyatakan, tiga kampung itu berhampiran dengan Kluster Kampung Selamat dan perintah berkurung dimulakan mulai semalam hingga Khamis ini.

Sementara itu, bagi meredakan kebimbangan masyarakat di Sabah, Ismail Sabri menasihatkan mereka agar sentiasa mengamalkan kawalan kendiri seperti tidak berada di tempat sesak dan bersentuhan.

“Kawalan kendiri itu perlu dilaksanakan. Konsep kita ialah kita jaga kita. Nasihat saya, patuhi SOP yang dikeluarkan kerajaan, elak bersesak-sesak, bersentuhan, tidak kira keluar mengundi atau ke pasar, kita kena jaga diri sendiri.

“Kalau bersalaman itu boleh berlaku jangkitan, elak bersalaman. Pakai pelitup muka. Nasihat ini bukan sahaja untuk rakyat Sabah, rakyat di Sarawak dan Semenanjung pun perlu amalkan kerana wabak Covid-19 ini berlaku di mana-mana,” katanya.

Menjawab soalan wartawan mengenai satu klik video lakunan sekumpulan lelaki memakai gelang merah jambu, beliau berkata, isu Covid-19 tidak boleh dibuat lawak atau mainan untuk bergurau.

Katanya, secara tidak langsung, mereka telah melakukan dua kesalahan, pertama, kalau pelakon itu betul-betul dikuarantin, keluar dengan memakai gelang merah jambu, mereka boleh dikenakan tindakan.

Kedua, katanya, jika pelakon itu tidak dikuarantin, tetapi memakai gelang merah jambu, juga boleh dikenakan tindakan iaitu menyalahgunakan peralatan Kementerian Kesihatan.

“Setiap daripada kita perlu bertanggungjawab. Jangan kita hendak jadikan ini bahan mainan dan ketawa. Ini melibatkan nyawa. Tidak boleh buat lawak kerana kesannya amat besar dan sesiapa sahaja anggaplah pandemik Covid-19 ini wabak yang serius.

“Bagaimanapun, kita serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan tempoh operasi bagi premis sukan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi, berbanding jam 12 tengah malam sebelum ini. – MalaysiaGazette