Calon Perikatan Nasional (PN) DUN N.68 Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berucap ketika hadir ke program ramah mesra bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di jalan Abdul Rahman, Tawau Sabah. foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Pemimpin kanan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohamaddin Ketapi terus menjadi sasaran kritikan selepas kenyataan beliau yang menyifatkan insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 sebagai “sandiwara”.

Kali ini giliran calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membidas Mohamaddin yang berkata, calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu telah memperlekeh pasukan keselamatan negara.

“Saya rasa ini akan beri kesan terutamanya dalam kalangan pengundi-pengundi anggota keselamatan dan mungkin juga daripada ahli-ahli keluarga mangsa.

“Pada saya dan kawasan saya di DUN Apas ini beranggapan kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan dan telah mengguris hati rakyat yang ada di kawasan saya,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas program ramah mesra bersama pengundi di Jalan Habib Abdul Rahman, Tawau.

Dalam pada itu, Nizam Abu Bakar berkata, kenyataan Mohammaddin tidak mencerminkan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen Silam.

Katanya,  kenyataan itu jelas tidak bertanggungjawab dan menghina golongan perajurit negara.

“Saya rasa kenyataan sedemikian tidak patut keluar daripada Ahli Parlimen Silam dan pernah memegang jawatan menteri.

“Kenyataan seumpama ini tidak bertanggungjawab dan seperti menghina dan memperkecilkan pihak keselamatan khususnya tentera sedangkan kejadian pencerobohan Tanduo itu telah mengorbankan anggota keselamatan kita.

“Disinilah rakyat dapat menilai sikap pemimpin daripada Warisan yang memang sejak dahulu lagi selalu merendah-rendahkan pihak lain.

Calon Perikatan Nasional (PN) DUN N.68 Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bercakap kepada media selepas hadir ke program ramah mesra bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di jalan Abdul Rahman, Tawau Sabah. foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2020.

Dalam klip video kira-kira 2 minit yang tular sebelum ini, Mohamaddin, yang juga bekas menteri persekutuan, ketika berkempen sempena pilihan raya negeri (PRN) Sabah 26 September ini berkata, pasukan keselamatan “mengebom kelapa sawit dan rumah”, dan “pasukan di darat berperang dengan ayam dan anjing”.

“Bila pilihan raya (PRU 2013) berakhir, tiada lagi perang,” katanya, dengan menambah semasa berkhidmat sebagai ADUN sebelum ini, beliau tidak pernah menemui lanun bersenjata atau warga Filipina yang mahu mengisytiharkan perang atau mengambil semula Sabah.

Beliau berkata, ramai orang terkorban dalam pertempuran di Lahad Datu itu kerana ia “sandiwara”.

Kenyataan itu membuatkan presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada seluruh anggota keselamatan berhubung kenyataan Mohammaddin.

Pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, sekali gus mencetuskan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia.

Insiden itu berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan dan 6 orang awam. Pengganas yang hidup ditangkap atau menyerah diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast