Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

PUTRAJAYA- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menghantar kertas cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung keputusan terbaharu Arab Saudi untuk membenarkan jemaah asing untuk menunaikan umrah bermula 1 November ini.

Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Albakri berkata, perkara tersebut akan dibincang dengan teliti bagi mengelakkan timbul pula Kluster Umrah.

“Kita akan menghantar kertas cadangan kepada MKN.

“Jika dibenarkan, kita akan tengok bagaimana MKN tetapkan prosedur operasi standard (SOP) terlebih dahulu dan kita juga perlu mendengar saranan Kementerian Kesihatan Malaysia pula.

“Kita tidak mahu timbul Kluster Umrah pula kerana apabila terjadi (perkara buruk) akan timbul macam-macam (persepsi) pula.

“Kami akan bekerjasama erat dengan MKN dan KKM,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Seminar Penipuan Umrah Bersama Pengelola Umrah 2020 di sini hari ini.

Tambahnya, banyak perkara perlu diberi pertimbangan teliti antaranya, pada tahun lepas, kes Covid-19 melonjak tinggi semasa musim sejuk serta kes-kes semasa di Malaysia dan Arab Saudi.

Semalam, kerajaan Arab Saudi mengumumkan kebenaran untuk jemaah menunaikan umrah sepanjang tahun selepas tujuh bulan ditangguhkan.

Buat permulaan, kira-kira 6,000 penduduknya dibenarkan menunaikan setiap hari bermula 4 Oktober ini.

Bagi jemaah luar pula, mereka boleh menunaikan ibadat umrah bermula 1 November ini.

Bagaimanapun, kapasiti ditetapkan tidak melebihi 20,000 orang sehari.

Menurut Zulkifli, beliau akan mendapatkan respons rasmi daripada kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci berhubung pengumuman terbaharu itu.- MalaysiaGazette