Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap sambil ditemani calon Perikatan Nasional (PN) N.72 Merotai, Mohamad Jalani Chachu (kanan) ketika hadir ke Majlis Sentuhan Mesra Bersama Warga DUN Merotai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Taman Merotai Jaya, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – “Jangan sampai ke tahap itu (Anwar angkat sumpah sebagai PM), itu jauh sangat saudara pergi.

“Ini bukan perkara pertama yang telah digembar-gemburkan. Pada 2008 seluruh dunia dikejutkan dengan perkembangan 16 September,” kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Itu ulasan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu ketika ditanya dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) dalam masa terdekat kerana mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa itu menegaskan, perkara itu telah acap kali dizahirkan oleh bekas bosnya itu semasa dalam PKR.

“Itu tidak berlaku, pada tahun lepas sekali digembar-gemburkan begitu juga pada awal tahun ini,” katanya dalam Program Majlis Sentuhan Mesra Warga DUN Merotai di Bilik Gerakan Utama (BGU) Perikatan Nasional hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Jailani Chachu.

Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dilantik itu juga berkata, kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga dilihat bercanggah dengan kenyataan Anwar.

“Kita juga menyaksikan beberapa keterangan dan kenyataan daripada rakan sekutu dalam PH sendiri yang mula mempertikaikan kenyataan yang dibuat semalam.

“Malahan ada pemimpin tertinggi yang membuat disclaimer (penafian) sekiranya jumlah cukup. Maknanya mereka sendiri mengenali watak tersebut. Bagi saya kita harus fokus kepada usaha untuk memenangkan calon PN dan BN di Sabah,” katanya lagi.

Mohamed Azmin dipercayai merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang sekali lagi mencadangkan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi calon PM sekiranya Anwar gagal mendapat sokongan.

Anwar selepas itu berkata beliau boleh mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi calon PM mewakili PH.

Semalam di Kuala Lumpur, Anwar membuat kejutan apabila mendakwa menerima sejumlah sokongan daripada Ahli Parlimen Melayu dan Islam bagi menggulingkan kerajaan PN.

Beliau turut memaklumkan sepatutnya mengadap Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) semalam namun pertemuan itu terpaksa ditangguhkan kerana YDPA dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast