Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kanan) bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tengah). foto HAZROL ZAINAL, 08 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Mana-mana anggota kerajaan yang bertekadĀ tidak mahu menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada, diminta berundur secara elok.

Ini kerana, kerajaan perlu menumpukan usaha membina semula negara, bukan sandiwara politik yang merugikan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan dalam apa juga ketidaktentuan ini, semua anggota Jemaah Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan mesti memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri dan tidak bersikap menikmati segala kelebihan tetapiĀ  pada masa sama tidak menyokong kepimpinan sedia ada.

Katanya, ini juga harus menjadi peringatan penting oleh semua Menteri, Timbalan-timbalan Menteri dan Ketua-ketua GLC yang dilantik untuk menguruskan kerajaan berjalan lancar.

Tegas beliau, sejak kemelut politik ini bermula, ramai rakan pemimpin luar negara menzahirkan kebimbangan terhadap situasi di negara ini, terutama dalam konteks Covid-19 yang tidak mencerminkan imej sebenar negara di mata dunia apatah lagi di saat kerajaan sedang berusaha menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama terutama demi memerangi wabak ini dan memulihkan ekonomi tempatan dengan rakan-rakan negara.

“Rakyat sudah cukup terbeban dengan isu ekonomi dan Covid-19 sehingga ada yang dibuang kerja, dipotong gaji, tidak dapat pulang jumpa anak isteri berbulan-bulan, kehilangan ahli keluarga akibat wabak ini.

“Maka jangan kita tambah lagi penderitaan serta beban mereka dengan isu-isu politik kerana kita juga perlu ingat, sekiranya situasi politik negara berterusan tidak stabil, usaha yang dilaksanakan kerajaan demi rakyat selama beberapa bulan ini akan menjadi sia-sia.

“Pendirian saya teguh dan jelas apabila saya mengambil keputusan untuk menyertai Kabinet ini, ia berdasarkan prinsip dan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui tampuk kepimpinan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada pengumuman Anwar semalam yang mendakwa beliau bakal membentuk kerajaan baharu, selepas mendapat sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen.

Hishammuddin berkata, ia bukan perkara baru dan mengejutkan memandangkan propaganda seumpama sudah dilakukan Anwar berkali-kali sejak April 2008 lagi.

Tambah beliau, jika benar sudah memperoleh sokongan hampir dua pertiga Dewan Rakyat, Presiden Parti Keadilan Rakyat itu perlu memberitahu kepada umum jumlah Ahli Parlimen yang menyokong dan dedahkanlah siapa Ahli Parlimen UMNO yang berpaling tadah.

Justeru katanya, Anwar sepatutnya malu pada diri sendiri kerana di saat negara masih berperang dengan wabak Covid-19, beliau tergamak membuat perancangan menukar kerajaan tanpa sedikitpun mengendahkan kebimbangan rakyat sebaliknya hanya memikirkan kepentingan peribadi yang mahu berkuasa sebagai Perdana Menteri.

“Cukup-cukuplah (Anwar), rakyat sudah penat dengan semua sandiwara ini, sudah lebih 20 tahun negara terpaksa melalui krisis politik hanya kerana Anwar hendak menjadi Perdana Menteri yang sebenarnya langsung tidak menguntungkan negara.

“Secara peribadi, UMNO tidak perlu layan propaganda Anwar Ibrahim dan tujuan sidang media semalam adalah untuk mengalihkan perhatian khususnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah beberapa hari lagi seolah-olah mahu mengelirukan dan menanam rasa bimbang rakyat terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Sembrong itu juga menasihati UMNO supaya berwaspada dengan taktik Anwar dan sedar bahaya menyokong Anwar kerana, ia hanya akan membuka peluang kepada DAP untuk lebih berkuasa di negara ini seterusnya membawa mudarat kepada kepentingan agama, bangsa dan negara yang kita perjuangkan selama ini.

“Apa jua yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim semalam, perkara paling penting untuk parti ialah fokus kepada usaha memenangi PRN Sabah, jentera UMNO dan Barisan Nasional telah berpenat-lelah dan berjuang selama berminggu berkempen demi memenangkan calon-calon kita.

“Jangan rencatkan usaha, menganggu fokus dan mematahkan semangat mereka dengan kenyataan yang boleh menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli UMNO dan jentera Barisan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast