Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Ceramah Perdana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Sendil, Putatan, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Tan Sri Muhyiddin Yassin  menjangkakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 26 September ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keyakinannya adalah berdasarkan kehadiran pemimpin gabungan itu dan sambutan hadirin pada Ceramah Perdana  malam ini,  yang disifatkan sebagai simbolik kepada sokongan rakyat  terhadap GRS.

“Malam ini sejarah yang begitu penting dalam siri jelajah kempen sempena PRN Sabah ini . Kita menyaksikan kehadiran ribuan hadirin, saya rasa kagum dan  cukup bangga dan saya rasa inilah petanda awal menunjukkan parti-parti GRS akan mencapai kemenangan besar dalam PRN ini Insyallah,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Bakut View, Kg Sendil.

Ujar beliau, GRS harus yakin kerana pilihan raya negeri kali ini diadakan mengikut undang-undang dan sistem demokrasi berparlimen.

“Kita harus rasa yakin kerana kita tahu inilah kesempatan yang telah diberikan dalam sistem demokrasi berparlimen yang mana penentu bagi arah tuju sesebuah negara termasuklah negeri Sabah adalah di tangan kita, rakyat yang ada di negeri Sabah ,” tambahnya.

Jelas beliau rakyat Sabah menjadi penentu terhadap hala tuju negeri itu pada masa akan datang.

“Corak bagaimana Sabah hendak diolah menjadi negeri maju membangun dengan rakyatnya berjaya terserah kepada kebijaksanaan rakyat Sabah itu sendiri,” katanya lagi.

Muhyiddin selain itu berpuas hati dengan respon yang ditunjukkan oleh pengundi Sabah menerusi beberapa siri kempen yang diikutinya.

Beliau simpulkan bahawa ramai yang berpihak kepada calon yang bertanding dalam GRS.

“Dalam siri kempen yang saya ikuti di Sabah, nampaknya sokongan rakyat Sabah kepada calon-calon yang bertanding di atas parti-parti GRS di Sabah begitu jelas,” tambah beliau.

Terdahulu antara yang turut hadir pada Ceramah Perdana GRS malam ini ialah Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, termasuklah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

Selain itu kelihatan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah, Datuk Jahid Jahim dan Presiden STAR, Datuk Jeffrey Kitingan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah merangkap Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan calon DUN Sulaman Datuk Hajiji Noor turut hadir. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast