Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Seorang peguam hari ini menyangkal kenyataan pakar Perlembagaan, Prof. Dr Shamrahayu Ab Aziz berhubung isu siapa layak untuk bertemu dengan Yang diPertuan Agong (YDPA) bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Khairul Anuar Musa mempersoalkan siapakah yang sebenarnya keliru dalam isu berkenaan selepas pengumuman dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Dalam hal tersebut Khairul Anuar yang juga Ketua Unit Literasi Undang-Undang, Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia (APDK) mempersoalkan sama ada Shamrahayu atau Anwar yang keliru.

Mengambil contoh isu yang sama membabitkan bekas Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dengan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Khairul Anuar menyifatkan isu  itu hampir sama dengan kes membabitkan kenyataan Anwar.

Katanya, Anwar boleh menghadap YDPA bagi memaklumkan bahawa beliau mempunyai majoriti bukan sahaja cukup tetapi majoriti yang kuat dan utuh untuk membentuk kerajaan baharu.

“Dalam kes yang disebut Nizar telah mencabar keputusan pelantikan Zambry sebagai MB Perak yang baharu dan menyatakan bahawa sepatutnya satu undi tidak percaya dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bukan di luar dewan.

“Selain itu, beliau turut mencabar sepatutnya DUN dibubarkan atas nasihat beliau kepada Sultan Perak.

“Turut juga dicabar bahawa beliau tidak pernah meletak jawatan sebagai MB Perak. Kes di atas telah didengar sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan di mana akhirnya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak rayuan Nizar dengan alasan kuasa untuk membubarkan DUN adalah kuasa sultan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengambil contoh sama, beliau turut merujuk perkara sama yang berlaku di Johor, Melaka dan Kedah apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih dengan tidak melalui DUN tetapi hanya melalui penyataan sokongan kepada satu pihak di hadapan pemerintah negeri.

“Seri Paduka Baginda YDPA mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada seseorang Perdana Menteri (PM) itu telah hilang majoriti ataupun tidak.

“Sekiranya didapati PM telah hilang majoriti maka, kerusi PM dianggap telah dikosongkan dan diserahkan kepada pihak yang telah mendapat majoriti,” ujarnya.

Tambah beliau, tidak perlu diadakan undi tidak percaya dalam Parlimen sebaliknya cukup sekadar diserahkan dengan pelbagai cara sekalipun bagi menunjukkan pihak yang satu lagi telah mempunyai majoriti yang mencukupi bagi menjadi Perdana Menteri.

Malah katanya, perlu diingat keputusan dalam kes itu masih dianggap sebagai undang-undang mantap kerana ia merupakan keputusan peringkat tertinggi Mahkamah Persekutuan dan masih tidak terdapat kes yang menyangkal keputusan yang dibuat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bolehkah Anwar umum sebuah kerajaan telah jatuh?