Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Ceramah Perdana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Sendil, Putatan, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat kajian  punca kos sara hidup rakyat di Sabah dan Sarawak tinggi.

Beliau meminta kaedah menangani masalah berkenaan termasuklah perbezaan harga makanan di Sabah dan Semenanjung  diterjemah dalam bentuk laporan.

“Saya sedar Sabah dan Sarawak juga hadapi isu lain, kalau di Sabah ini soal kos sara hidup. Ini kita bincang dalam Kabinet. Baru-baru ini saya arah KPDNHEP.

“Saya beritahu Datuk Alexander Nanta Linggi kaji kenapa kos sara hidup tinggi di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung.

”Apakah wujud masalah pengangkutan, nanti saya minta laporan cara bagaimana kita boleh cari jalan ikhtiar untuk menentukan kos sara hidup di Sabah, untuk dapat kita turunkan.

“Kita ada Skim bantuan subsidi pengangkutan supaya kurangkan harga, ia masih berjalan, tapi kita masih terima aduan,”katanya ketika menyampaikan ucapan di Ceramah Perdana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kg Sendil.

Tegas Muhyiddin adalah tidak adil untuk Sabah dan Sarawak berhadapan dengan harga barang yang tinggi berbanding Semenanjung.

“Atau adakah di sini ada peniaga yang sengaja mahu untung yang banyak. Atau di sini masalahnya pengangkutan, tempat jauh-jauh? Apa dia masalahnya?. Ini akan dikaji dan saya akan minta laporan,” tambahnya.

Antara kaedah yang boleh digunakan, jelas Muhyiddin adalah dengan menjadikan Sabah sebagai penyumbang kepada pengeluar bahan makanan.

“Antara strateginya adalah menentukan kita keluarkan sebanyak mana bahan-bahan makanan, Sabah ada hasil pertanian, ada tanah terbuka, tanam apa sahaja boleh dijual ke Hong Kong, China dan sebagainya.

“Tetapi yang lebih penting nak membekalkan makanan yang mencukupi untuk rakyat di Sabah dengan harga berpatutan,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast