Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru kepada semua rakyat Sabah supaya keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Sabtu ini.

Seramai 1,088,711 orang daripada 1,103,646 orang pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Sabtu ini, 26 September 2020.

Manakala seramai 14,935 orang telah mengundi secara pos.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

Pada kad itu, SPR juga meletakkan maklumat “Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan’ bagi setiap pengundi dan mereka dinasihatkan supaya mengikut masa yang dicatatkan pada kad tersebut.

Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu,
pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan.

Namun, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

”Cadangan masa ini bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

”Ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa. Semua pengundi dan pihak yang terlibat dalam PRU DUN Sabah ke-16 juga diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pengundi yang tidak menerima kad tersebut kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui saluransaluran berikut:
a) Portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my;
b) Aplikasi MySPR Semak;
c) Hotline SPR di talian 03-8892 7018; atau
d) SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO. KAD
PENGENALAN

Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan mereka membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast