Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (PKPD) Bersasar atau TEMCO di Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) sehingga 7 Oktober depan setelah mengambil kira risiko penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Kota Setar bagaimanapun ditamatkan hari ini mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Beliau turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Lama juga akan ditutup bermula pada 26 September 2020 sehingga 9 Oktober 2020.

“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (PKPDP) di Daerah Kota Setar bermula pada 11 September 2020 dan akan tamat pada hari ini, 25 September 2020.

“Walaubagaimanapun, setakat 24 September 2020, penilaian risiko yang dijalankan oleh anggota KKM mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan Covid-19 di daerah tersebut. Kawasan paling berisiko tinggi adalah di Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak).

“Seramai 94 orang penduduk di lokasi tersebut telah disaring dan sembilan daripadanya telah didapati positif Covid-19 yang melibatkan lima buah rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pelanjutan tempoh itu diperlukan bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan kali kedua.

Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat kawalan pergerakan di lokasi tersebut bagi memastikan semua penduduk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Perintah Kuarantin di Rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast